‘BN yang tak anggap PH kawan’, kata pemimpin PKR Johor
2026-03-18 - 03:30
Naib Pengerusi PKR Johor Jimmy Puah berkata kerjasama BN-PH negeri sememangnya tidak menyeluruh, menyebabkan masing-masing membawa haluan dan strategi politik sendiri. PETALING JAYA: Seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH) Johor menafikan dakwaan wujud “tangan ghaib” sehingga menjejaskan hubungannya dengan Barisan Nasional (BN) di negeri itu. Naib Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah, sebaliknya menjelaskan kerjasama dua gabungan itu sememangnya tidak menyeluruh, menyebabkan masing-masing membawa haluan dan strategi politik sendiri. Beliau turut mendakwa kerajaan BN di Johor seolah-olah tidak menganggap PH sebagai rakan kerana tidak dilibatkan dalam pentadbiran negeri. “Mengapa PH tidak dijemput untuk menyertai kerajaan negeri, selaras dengan semangat kerajaan perpaduan di pusat? Kalau kerajaan Melaka boleh jemput, mengapa Johor enggan? Padahal selepas PRN 2023, kerajaan Selangor juga tawar beberapa jawatan kepada Umno Selangor, kenapa kerajaan Johor tidak pernah? “Bukan PH yang memandang mereka musuh, tetapi BN yang tidak memandang kita sebagai kawan. Kalau mahu bercakap soal kerjasama, biarlah ikhlas dan berasaskan realiti, bukan sekadar retorik menjelang pilihan raya,” katanya kepada FMT. Sabtu lalu, Setiausaha Umno Johor, Abdul Halim Suleiman dilaporkan mendakwa ada “tangan ghaib” cuba merosakkan hubungan BN dan PH negeri dengan membangkitkan isu termasuk agihan jawatan ketua kampung, ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Katanya, isu itu yang memerlukan pertimbangan dan proses tertentu dalam pentadbiran negeri, sengaja diperbesarkan segelintir pemimpin PH. Menurutnya, dakwaan PH tidak dilayan secara adil juga perlu dilihat dengan seimbang, termasuk dari sudut kerjasama wakil rakyat di peringkat Parlimen, apabila pemimpin Ummo dan BN di kawasan juga tidak diberi sebarang peruntukan oleh Ahli Parlimen PH bagi melaksanakan program rakyat. Puah berkata, Ahli Parlimen PH tidak boleh meluluskan peruntukan kepada parti politik, tetapi ia tidak bermakna pihaknya tidak membantu rakyat. “Contohnya peruntukan saya sebagai Ahli Parlimen Tebrau, saya beri kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), di mana ketua kampung adalah orang Umno. “Lagipun kerajaan persekutuan melalui banyak projek, termasuk Sejati Madani dan Kampung Angkat Madani terus menyalurkan banyak peruntukan dan dana kepada kampung Melayu yang JPKK semua dipegang Umno.”