BN rancang penjenamaan semula untuk lebih progresif, inklusif, kata Zambry
2026-03-01 - 10:43
Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir, berkata pemukiman BN juga setuju tahap kesiapsiagaan perlu diperkemas bagi berdepan kemungkinan PRN Melaka dan Johor dan PRU akan datang. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) melihat keperluan penjenamaan semula sebagai sebuah gabungan lebih progresif dan inklusif, susulan pemukiman kepimpinannya baru-baru ini bertujuan memperkukuh perpaduan dalam kalangan parti komponen. Setiausaha Agung Zambry Abdul Kadir, berkata BN juga bersetuju bahawa segala persiapan dan kesiapsiagaan perlu diperkemas dari sekarang bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk PRN Melaka dan Johor dan PRU akan datang. Zambry berkata, berpendirian isu sensitif berkaitan kaum dan agama hendaklah ditangani melalui pendekatan musyawarah, kesederhanaan, dan kebijaksanaan politik. “Pemukiman ini turut menekankan keperluan penjenamaan semula Barisan Nasional agar tampil lebih progresif dan inklusif, dengan meneruskan politik berimbang, moderat, dan berasaskan musyawarah. “Pembaharuan ini hendaklah selari dengan aspirasi rakyat masa kini tanpa meninggalkan asas perjuangan dan nilai teras gabungan,” katanya dalam kenyataan. Beliau berkata, pemimpin BN dalam pemukiman tersebut mahu usaha pengukuhan BN dilaksanakan secara terstruktur dan berdisiplin, serta berpaksikan kepada perkembangan politik semasa. Zambry, yang juga merupakan menteri pendidikan tinggi, berkata pimpinan BN dalam kerajaan akan terus menggalas amanah dengan penuh tanggungjawab, memainkan peranan konstruktif dalam memperkukuh kestabilan dan keberkesanan kerajaan perpaduan di bawah kepimpinan perdana menteri demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Beliau menambah, BN komited memperbaiki kelemahan lampau dan memperkukuh saf kepimpinannya.