BN perlu pilih kerusi boleh menang, bukan sekadar tanding, kata penganalisis
2026-03-05 - 00:34
Pada PRU15, BN menang 30 kerusi dan menjadi sebahagian kerajaan perpaduan diketuai Perdana Menteri Anwar Ibrahim. (Gambar EPA Images) PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) perlu memilih pertempuran boleh dimenangi, bukan sekadar hadir ke ‘medan perang’, kata penganalisis mengulas hasrat parti itu bertanding 115 kerusi pada PRU16 dengan harapan kembali sebagai peneraju kerajaan. Muhammad Afifi Abdul Razak berkata landskap politik kini yang semakin mencabar dan cair memerlukan BN mempunyai strategi betul termasuk membentuk kerjasama sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN). Menurutnya, BN memerlukan rakan kerjasama untuk menang lebih banyak kerusi; meramalkan kelebihan di kerusi majoriti Melayu-Islam jika bekerjasama dengan PN dan akses kepada sumber kerajaan sekiranya bersama PH. “Menang kerusi lebih bernilai daripada tanding. BN perlu pilih pertempuran yang boleh dimenangi, bukan sekadar hadir di medan perang. “BN juga tidak perlu membazir tenaga dan dana bertanding di kerusi kubu PH atau PN,” kata penganalisis dari Universiti Utara Malaysia itu kepada FMT. “Sesetengah penganalisis mencadangkan BN mengambil pendekatan ‘kingmaker’ — bertanding secukupnya untuk menjadi ‘penimbang tara’ selepas PRU.” Afifi turut menjangkakan dengan strategi betul dan kelancaran jentera, BN mungkin boleh menang antara 40 hingga 55 kerusi Parlimen. Pada Ahad, BN mengumumkan rancangan untuk menjenamakan semula dirinya sebagai lebih progresif dan inklusif, sebahagian daripada usaha yang lebih luas menghadapi pilihan raya akan datang. Inisiatif itu yang didedahkan susulan permukiman kepimpinan yang bertujuan memperkukuh perpaduan dalam kalangan parti komponen. Menurut sumber dipetik Malaysiakini, Pengerusi Zahid Hamidi menzahirkan hasrat supaya BN bertanding sekurang-kurangnya 115 kerusi agar ia kembali menerajui kerajaan pusat. Pada PRU15, BN menang 30 kerusi dan menjadi sebahagian kerajaan perpaduan diketuai Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan percaya sasaran 115 itu mengambil kira kawasan di mana orang Melayu membentuk lebih 50% daripada pengundi. Beliau berkata sasaran itu kelihatan tak logik sekiranya melihat pada data PRU15. “Tetapi dari November 2022 hingga sekarang banyak telah berubah. “Kalau nak ikutkan, kekuatan Umno lebih kuat dan stabilpada ketika ini berbanding PRU sebelum ini,” katanya.