‘Blok Borneo’ ada kuasa tawar-menawar di Putrajaya, kata penganalisis
2026-03-02 - 01:43
Secara teknikal kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah dan Gabungan Parti Sarawak sebenarnya sudah wujud secara tidak formal di bawah payung kerajaan perpaduan, kata penganalisis. PETALING JAYA: Kerjasama politik Sabah-Sarawak menerusi penjenamaan ‘blok Borneo’ menjelang PRU16 diyakini akan memperkukuh kuasa tawar-menawar di peringkat persekutuan, kata penganalisis. Dick Lembang Dugun dari Universiti Malaysia Sarawak, mencadangkan semua parti tempatan bergabung lalu ditumpukan usaha memperkasa agenda kedudukan masing-masing demi kepentingan wilayah Borneo. “Penggabungan ini harus membawa satu manifesto bersama yang mampu memacu pelaksanaan perkara yang masih tertunggak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya kepada FMT. Beliau mengulas gesaan Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Armizan Mohd Ali untuk Sabah dan Sarawak membentuk blok bersatu yang teguh, bukan sekadar mencukupkan bilangan membentuk kerajaan, malah penggerak agenda utama Putrajaya. Mengulas lanjut, Dugun berkata cadangan membina blok itu perlu disusuli mekanisme pelaksanaan yang telus. “Ia harus disertakan dengan terma rujukan yang jelas supaya memberi manfaat kepada semua pihak. Buat masa ini, perkara paling utama adalah memperjuangkan penambahan kerusi Parlimen bagi kedua-dua negeri,” katanya. Sementara itu, Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah, berkata apa disebut Armizan amat tepat pada masanya memandangkan politik di peringkat persekutuan tidak lagi didominasi satu parti tunggal. Katanya, secara teknikal kerjasama antara GRS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebenarnya sudah wujud secara tidak formal di bawah payung kerajaan perpaduan. Namun, beliau melihat cabaran lebih besar kini terletak di bahu GRS untuk mendominasi kerusi Parlimen di Sabah bagi memastikan mereka mempunyai daya tawar-menawar setaraf GPS. “Cabaran GRS adalah memastikan mereka mempunyai jumlah kerusi yang cukup banyak untuk membentuk blok yang kuat. Sabah memerlukan model politik yang berasaskan kepercayaan dan bukannya ‘tikam belakang’. “Blok Borneo ini boleh membuat persefahaman untuk bertindak sebagai satu entiti undi di Parlimen selepas keputusan pilihan raya,” katanya. Dalam pada itu, Lee turut mencadangkan agar penggabungan ini disusuli penubuhan sekretariat atau jawatankuasa penyelaras bagi mengelakkan percanggahan suara antara kedua-dua wilayah seperti yang berlaku pada masa lalu. “Sokongan hanya akan diberikan kepada gabungan di Semenanjung yang bersetuju secara bertulis — melalui akta atau pindaan Perlembagaan — terhadap tuntutan hak wilayah termasuk pulangan hasil 40% dan 1/3 kerusi Parlimen. “Kedua-dua wilayah Borneo tidak meminta lebih, sekadar menuntut hak yang telah dinafikan selama ini.” Sabah dan Sarawak mempunyai 56 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat, dengan Sabah 25 dan Sarawak 31.