Biar siasatan tentukan identiti individu dalam dakwaan Victor Chin
2026-03-26 - 02:11
Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan juga menggesa SPRM dan polis segera menjalankan siasatan yang menyeluruh, bebas dan telus tanpa selindung. PETALING JAYA: Identiti individu terbabit dalam sindiket pengambilalihan paksa syarikat menerusi pakatan seperti didakwa ahli perniagaan Victor Chin perlu ditentukan menerusi proses siasatan sah. Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin Hassan berkata langkah itu bagi menghindari spekulasi boleh menjejaskan reputasi mana-mana pihak yang tidak bersalah. Katanya, PN juga menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis segera menjalankan siasatan yang menyeluruh, bebas dan telus tanpa selindung bagi memastikan kebenaran ditegakkan tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak atau individu. “PN akan terus memantau perkembangan kes ini dan tidak akan teragak-agak untuk membawanya ke Parlimen bagi memastikan prinsip akauntabiliti dan integriti dalam pentadbiran negara dipertahankan. “Integriti bukan sekadar slogan dan kata-kata muluk pemanis bicara, tetapi lebih daripada itu, ia menuntut pembuktian melalui ketelusan serta akauntabiliti yang konsisten dan berani,” katanya dalam kenyataan. Kelmarin, Chin dalam dokumen setebal 40 muka surat mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR yang tidak dinamakan meminta RM10 juta secara tunai untuk menyelesaikan masalah perniagaannya dengan sindiket korporat tersebut. Chin turut mendakwa seorang individu dikenali sebagai ‘Mr R’ bertindak bersama sindiket itu untuk menguasai NexG Bhd dan pegangan saham berkaitan melalui pemaksaan serta sekatan terhadap hak pemegang saham. Malam tadi, bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli berkata beliau akan mendedahkan identiti ‘Mr R’ terbabit, hari ini. Semalam, Naib Presiden PKR R Ramanan mengecam cubaan ‘tidak bertanggungjawab’ pihak tertentu untuk mengaitkan beliau terhadap dakwaan Chin, sambil menafikan sekeras-kerasnya pembabitannya.