Bertenang, jangan buat provokasi, kata pemimpin Umno susulan kes hina al-Quran
2026-03-01 - 00:23
Ahli Parlimen Paya Besar, Shahar Abdullah berkata perbuatan menghina kitab suci mana-mana agama adalah tidak boleh diterima dan bercanggah dengan nilai keharmonian serta saling menghormati. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Seorang pemimpin Umno menyeru semua pihak supaya bertenang dan tidak terlibat dengan sebarang provokasi susulan kes seorang pelajar universiti yang didakwa memijak al-Quran. Ahli Parlimen Paya Besar, Shahar Abdullah juga menggesa pihak universiti menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan tegas selaras dengan peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa terhadap pelajar berkenaan. “Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ini kerana sebarang perbuatan menghina kitab suci mana-mana agama adalah tidak boleh diterima dan bercanggah dengan nilai keharmonian serta saling menghormati yang menjadi asas negara kita. “Dalam mengecam perbuatan ini, saya menyeru semua pihak supaya bertenang dan tidak terlibat dengan sebarang provokasi yang boleh mengganggu perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan. Beliau yang juga timbalan meteri ekonomi berkata al-Quran amat mulia bagi umat Islam dan tindakan sebegini melukakan perasaan masyarakat. “Namun dalam masa yang sama, kita mesti mempertahankan prinsip negara majmuk yang berteraskan hormat dan persefahaman. “Jangan biarkan tindakan seorang individu merosakkan perpaduan yang telah kita bina bersama,” katanya. Pada 25 Feb lalu, seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial. Gambar kaki seorang lelaki dewasa memijak al-Quran dan tangkap layar hantaran individu didakwa penuntut UMPSA itu kemudian tular di media sosial. Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman dilaporkan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948. Semalam, Ketua Polis Kuantan, Ashari Abu Samah, berkata tempoh reman lelaki 21 tahun itu yang tamat semalam disambung hingga 3 Mac ini susulan arahan timbalan pendakwa raya supaya beberapa tindakan lagi diambil untuk melengkapkan siasatan. Setakat Jumaat, polis menerima 28 laporan di seluruh negara berhubung kes berkenaan.