TheMalaysiaTime

Bersih persoal Ahli Parlimen tak sokong RUU baik untuk negara

2026-03-02 - 14:24

Bersih kata wakil rakyat seharusnya mengutamakan kepentingan negara. (Gambar fail) PETALING JAYA: Kumpulan reformasi pilihan raya, Bersih, mempersoalkan Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan yang tidak menyokong rang undang-undang (RUU) berkaitan pengehadan tempoh jawatan perdana menteri, selepas pindaan tersebut gagal melepasi undian belah bahagi di Dewan Rakyat, petang tadi. Pengerusi Faisal Abdul Aziz berkata ahli Dewan Rakyat maklum bahawa RUU itu memerlukan sokongan 2/3 ahli Dewan Rakyat. “Apa kewajaran blok pembangkang tidak menyokong RUU ini apabila ia jelas baik untuk negara?” katanya kepada FMT. “Saya juga bangkitkan persoalan Ahli Parlimen kerajaan yang gagal tunaikan tanggungjawab untuk hadir dalam sesi penting ini.” Pindaan Perlembagaan itu, yang dibentangkan sebagai RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 1) 2026, mahu mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal, dan terpakai ke atas bekas perdana menteri, sekiranya ia diluluskan Parlimen. Di sebalik sokongan Bersih dan pelbagai pihak lain, Dewan Rakyat bagaimanapun menyaksikan 44 wakil rakyat tidak mengundi manakala 32 lagi tidak hadir. RUU itu memerlukan sekurang-kurangnya 148 ahli Dewan Rakyat menyokong daripada 222 orang, namun petang tadi menyaksikan ia kekurangan dua undi. “Masyarakat sivil dan pengundi ingin melihat reformasi institusi,” kata Faisal, dan menambah wakil rakyat seharusnya mengutamakan kepentingan negara. “Kita tidak boleh setiap masa melihat sisi perbezaan politik mempengaruhi secara dominan pertimbangan dalam membuat keputusan.” Faisal berkata RUU itu wajar dibentangkan semula. “Namun terserah kepada kebijaksanaan Ahli Parlimen,” katanya.

Share this post: