TheMalaysiaTime

Bersatu terima jutaan ringgit kerana Muhyiddin, mahkamah diberitahu

2026-03-09 - 04:14

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin berdepan tujuh pertuduhan berkait program Jana Wibawa membabitkan kemasukan lebih RM200 juta ke dalam akaun Bersatu. (Gambar Bernama) KUALA LUMPUR: Sumbangan berjuta-juta ringgit mengalir ke dalam Bersatu kerana Muhyiddin Yassin memegang jawatan presiden parti dan perdana menteri ketika itu, kata pihak pendakwaan kepada Mahkamah Tinggi semasa perbicaraan yang bermula hari ini. Dalam kenyataan pembukaannya, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, bersetuju dana dikaitkan dengan program Jana Wibawa tidak dibayar kepada Muhyiddin secara peribadi. “Kami akui bahawa wang berjuta-juta ringgit tersebut tidak masuk ke dalam poket tertuduh sendiri, sebaliknya didepositkan ke dalam akaun sekutunya, iaitu Bersatu. “Keterangan akan membuktikan bahawa, jika bukan disebabkan kedudukan tertuduh selaku presiden Bersatu dan perdana menteri pada masa itu, parti itu tidak akan menerima sumbangan berjuta-juta ringgit.” Ketua pendakwa raya itu juga menyatakan, menteri kewangan ketika itu, Tengku Zafrul Aziz, hanya bertindak berdasarkan minit yang dikeluarkan oleh Muhyiddin, dan tidak mendapat manfaat peribadi daripada keputusan dibuat. “Begitu juga dengan sekutu menteri kewangan pada masa itu, Umno, yang tidak memperoleh sebarang manfaat,” katanya. Wan Shaharuddin berkata, pihak pendakwaan akan bergantung kepada keterangan secara langsung, dan keterangan mengikut keadaan untuk membuktikan kesnya. Beliau menyatakan pihak pendakwaan akan memanggil kira-kira 30 saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan tersebut. Muhyiddin, 78, berdepan tujuh pertuduhan berkaitan program Jana Wibawa bawah pentadbirannya, sebuah inisiatif kerajaan yang diperkenalkan ketika pandemik Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera. Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk meminta rasuah berjumlah RM225.3 juta bagi pihak Bersatu daripada tiga syarikat dan seorang individu iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd, dan Azman Yusoff. Beliau didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pejabat Perdana Menteri antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021. Beliau juga berdepan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM200 juta, yang didakwa diterima daripada Bukhary Equity dan didepositkan ke dalam akaun Bersatu di AmBank dan CIMB Bank. Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di AmBank di Petaling Jaya, dan CIMB Bank Jalan Stesen Sentral, antara 25 Feb 2021 dan 8 Julai 2022. Terdahulu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan keempat yang dipinda, di mana jumlah didakwa diterima daripada Azman dikurangkan daripada RM12 juta kepada RM4.8 juta. Muhyiddin diwakili barisan peguam K Kumaraendran, Hisyam Teh Poh Teik, Rosli Dahlan, Amer Hamzah Arshad, Chetan Jethwani, Kee Wei Loon, Low Wei Loke, Siti Summaiyah Ahmad Jaafar, Lee Yei Wei, dan Tang Jia Yearn. Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Nurdin diteruskan.

Share this post: