TheMalaysiaTime

Bersatu tak hadir pertemuan anjuran Umno bincang isu Islam, Bumiputera

2026-03-06 - 02:54

Musyawarah isu Islam dan Bumiputera anjuran Umno di ibu pejabatnya semalam. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Bersatu tidak menghadiri pertemuan bagi membincangkan isu Islam, Melayu dan Bumiputera anjuran Umno semalam. Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki yang mempengerusikan musyawarah itu berkata, surat jemputan rasmi dihantar kepada Bersatu, tetapi tidak dibalas. “Bahkan apabila sekretariat menghubungi mereka, mereka tidak beri sebarang jawapan. “Putra pula mengadakan sidang akhbar menolak pelawaan Umno dengan mendakwa Umno mempunyai agenda politik tertentu,” tulisnya di Facebook. PAS, PKR, Amanah, Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Berjasa, Kimma dan Parti Ikatan Bangsa (Ikatan) menghadiri pertemuan di Ibu Pejabat Umno, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, malam tadi. Asyraf berkata, musyawarah kali pertama itu digagaskan Presiden Umno, Zahid Hamidi untuk menghimpunkan pelbagai parti, tidak kira dari blok kerajaan mahupun pembangkang bagi membincangkan maslahah ummah dan Islam. Jelasnya, Umno hanya menyediakan platform perbincangan antara parti yang majoriti ahlinya terdiri daripada orang Islam, Melayu dan Bumiputera untuk berbincang dan mencari titik persamaan, khususnya berkaitan kepentingan bersama. Tegasnya, parti politik boleh berbeza pandangan perbezaan, tetapi soal kepentingan Islam, kedudukan Melayu serta masa depan Bumiputera patut menjadi titik temu yang menyatukan mereka melangkaui perbezaan politik kepartian. Januari lalu, Zahid ketika menggulung ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2025 menyatakan hasrat untuk membentuk kolaborasi agung dan ‘Rumah Bangsa’ bagi menyatukan parti politik Melayu dan Islam.

Share this post: