Bersatu, PAS setuju mansuh jawatan pengerusi PN, kata Muhyiddin
2026-01-28 - 05:41
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata isu berkaitan pelantikan pengerusi baharu PN tidak lagi timbul susulan keputusan memansuhkan jawatan itu. PETALING JAYA: Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau tidak menerima sebarang notis atau jemputan bagi menghadiri mesyuarat Perikatan Nasional (PN) yang dijadualkan esok tetapi kini telah dibatalkan. Dalam surat bertarikh 27 Januari, Muhyiddin turut mendakwa Bersatu dan PAS telah mencapai persetujuan untuk memansuhkan jawatan pengerusi PN sebagai sebahagian daripada usaha penstrukturan semula gabungan pembangkang itu. Menurutnya, persetujuan tersebut dicapai dalam satu pertemuan antara beliau dan pimpinan PAS pada 16 Januari lalu. Muhyiddin berkata, hasil penstrukturan itu menyaksikan Bersatu akan menerajui Majlis Presiden PN, manakala PAS akan mengetuai jawatankuasa eksekutif. Beliau menjelaskan bahawa Majlis Presiden akan menjadi badan tertinggi dalam membuat keputusan berkaitan dasar PN, sementara jawatankuasa eksekutif bertanggungjawab menguruskan aspek pentadbiran. “Kewujudan kedua-dua majlis amat penting bagi memastikan PN mengekalkan imej sederhana selaras dengan realiti masyarakat majmuk di Malaysia. “Dengan penstrukturan ini, jawatan pengerusi PN dimansuhkan dan sebarang isu berkaitan pelantikan pengerusi PN tidak lagi timbul,” menurut kandungan surat tersebut. BERITA LANJUT MENYUSUL