TheMalaysiaTime

‘Bersatu baik’, ketua Pemuda dakwa masalah selesai minggu depan

2026-03-03 - 07:04

Ketua Pemuda Bersatu Hilman Idham bersama penyokongnya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Hilman Idham mendakwa Bersatu kini dalam keadaan baik selepas krisis dalaman yang membawa kepada pemecatan Hamzah Zainudin. Adun Gombak Setia berkata, segala masalah membabitkan parti dijangka diselesaikan dalam masa seminggu lagi. “Program-program juga sedang rancak dilaksanakan dalam bulan Ramadan ini khususnya untuk memperkukuhkan parti dan jentera pilihan raya menjelang pilihan raya negeri bagi Melaka dan Johor,” katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Terdahulu, beliau hadir bagi perbicaraan hari pertama kes menimbulkan kegentaran awam dihadapinya. Bersatu berdepan pergolakan dalaman susulan kemelut kepimpinan antara Presiden Muhyiddin Yassin dan timbalannya Hamzah, yang membawa kepada pemecatan ketua pembangkang itu pada 13 Feb lalu. Perkembangan itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam parti termasuk di peringkat sayap dan bahagian. Sementara itu, Hilman berkata usaha pengukuhan parti berjalan dengan baik dan beliau menjangkakan semua bahagian yang sebelum ini berdepan ‘masalah’ akan selesai dalam masa terdekat. “Kita jangkakan dalam masa terdekat semua bahagian yang ada masalah ini akan selesai. Parti juga telah bergerak lebih proaktif dan saya kira mungkin dalam masa satu minggu lagi akan selesai,” katanya.

Share this post: