TheMalaysiaTime

‘Beri mesej salah’, pemimpin bantah Tamim Dahri masuk PKR

2026-03-09 - 05:53

PKR menerima permohonan Tamim Dahri Abdul Razak untuk menyertai parti itu pada 5 Mac lalu. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Pemimpin PKR menggesa parti itu tidak menerima permohonan aktivis Tamim Dahri Abdul Razak untuk menjadi ahlinya. Ketua PKR Selayang, Chua Wei Kiat, berkata penerimaan individu dikaitkan dengan pendekatan ekstrem dalam isu agama boleh memberi mesej salah kepada masyarakat, seolah-olah PKR mengalu-alukan golongan sedemikian. Chua Wei Kiat. “Andainya PKR menerima permohonan aktivis kontroversi Tamim Dahri untuk menjadi anggota PKR, parti kita akan memberi mesej yang salah kepada masyarakat umum, bahawa PKR mengalu-alukan kedatangan golongan ektrem dalam menangani isu melibatkan agama,” katanya dalam kenyataan. Semalam, Setiausaha Agung Fuziah Salleh berkata permohonan Tamim untuk menyertai PKR akan melalui proses tapisan standard sebelum diluluskan. Fuziah berkata, parti itu menerima permohonan Tamim pada 5 Mac lalu. Aktivis itu sebelum ini ditahan bersama pendakwah Zamri Vinoth dan beberapa individu lain berhubung rancangan mengadakan perhimpunan di luar pusat beli-belah Sogo bulan lalu bagi memprotes rumah ibadat yang didakwa didirikan tanpa kelulusan. Perhimpunan itu gagal dilaksanakan selepas disekat polis. Sebelum ini, perdana menteri yang juga Presiden PKR Anwar Ibrahim menegaskan sebarang tindakan melibatkan rumah ibadat perlu mematuhi proses perundangan bagi mengelakkan ketegangan antara kaum. Sementara itu, Chua yang juga Adun Rawang berkata sempena ulang tahun ke-18 ‘tsunami politik’, semua pihak perlu mengimbau bagaimana PKR mengharungi liku-liku selepas PRU12 untuk terus mempertahankan prinsip asal perjuangannya. Katanya, kejayaan parti melonjak daripada satu kerusi Parlimen pada 2004 kepada 31 serta menubuhkan kerajaan negeri bersama rakan sekutu selepas pilihan raya dicapai kerana pendekatan politik sederhana yang dibawa mereka. “Andainya PKR tidak berganjak daripada prinsip ini ketika kita menjadi pembangkang, apa alasannya kita mengkhianati idealisme ini ketika kita berkuasa? “Kita akan memberi gambaran yang salah kepada umum, seolah-olah kita merestui tindakan merobohkan rumah ibadat tanpa melibatkan pihak berkuasa, sedangkan kita telah menggariskan syarat agar prosedur undang-undang itu dipatuhi, untuk mengelakkan ketegangan kaum dalam kalangan masyarakat,” katanya. Menurutnya, PKR juga tidak seharusnya memberi ruang kepada provokasi atau sentimen sempit berasaskan kaum dan agama, sebaliknya terus memperkukuh semangat persaudaraan sesama manusia berlandaskan nilai kemanusiaan dan kepelbagaian.

Share this post: