Berhentikan mahasiswa UMPSA pijak Quran, desak Ahli Parlimen pembangkang
2026-02-26 - 10:14
Ahli Parlimen Padang Terap Nurul Amin Ahmad, berkata walaupun Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir menyatakan semalam perkara itu akan dikendalikan dengan segera, beliau belum melihat sebarang tindakan diambil terhadap pelajar itu dalam tempoh 24 jam lalu. KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen pembangkang menyeru seorang pelajar universiti didakwa memijak al-Quran diberhentikan universiti, selain dilarang mendaftar di mana-mana universiti lain di negara ini. Nurul Amin Ahmad (PN–Padang Terap), berkata perbuatan tersebut tidak boleh diterima umat Islam dan menyifatkannya melanggar garis merah. Beliau menuntut Kementerian Pendidikan Tinggi mengambil tindakan tegas terhadap pelajar berkenaan. Pelajar berusia 21 tahun dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) itu ditahan di Kuantan semalam, selepas bapanya dilaporkan menyerahkan anaknya kepada pihak polis. Amin berkata, walaupun Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir semalam menyatakan perkara itu akan dikendalikan dengan segera, beliau belum melihat sebarang tindakan diambil dalam tempoh 24 jam lalu. “Rakyat umat Islam mendesak supaya UMPSA memberhentikan segera pelajar mahasiswa yang tidak layak untuk digelar sebagai mahasiswa kerana telah menghina Islam, telah menghina al-Quran. “Kita mendesak kepada KPT untuk memberhentikan pelajar ini daripada UMPSA dan melarang pelajar ini untuk menjadi mahasiswa di mana-mana universiti di dalam Malaysia ini,” katanya di Dewan Rakyat. Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli, berkata kementerian akan menyerahkan kepada UMPSA untuk menentukan tindakan selanjutnya. “Kita tentu sekali menolak, dan dalam bulan Ramadan yang mulia ini, kita agak kecewa dan amat berduka dengan kejadian ini dan kita harap ia dijadikan satu pengajaran untuk semua orang,” katanya. Pelajar berkenaan direman sehingga 28 Feb bagi membantu siasatan atas kesalahan melukakan perasaan keagamaan, hasutan, serta penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.