TheMalaysiaTime

‘Bercinta’ 20 jam ke kampung, rayuan air, ‘ledakan’ duit di langit

2026-03-27 - 00:20

Melayari Facebook ketika Syawal, perhatian saya terhenti pada satu hantaran akaun Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan. Tajuknya ringkas tetapi menyentuh emosi: “Perjalanan 20 jam bukti cinta perantau kepada Kelantan.” Hantaran itu memetik ucapan seorang pemimpin kerajaan Kelantan yang mengangkat pengorbanan anak perantau, terutama dari Lembah Klang, pulang ke kampung halaman sebagai simbol kasih yang tidak pernah luntur. Namun, tidak lama kemudian, hantaran itu tidak lagi dapat diakses atas sebab yang tidak diketahui. Ia hilang daripada garis masa akaun itu tetapi mesejnya terus terngiang—benarkah perjalanan berjam-jam itu sekadar rutin, atau sebenarnya satu isyarat lebih besar tentang apa yang masih belum diselesaikan? Hakikatnya, kisah memandu sehingga 20 jam untuk pulang ke Kelantan bukan sesuatu yang baharu. Setiap kali Aidilfitri dan Aidiladha menjelang, cerita sama berulang—anak-anak perantau mengharungi kesesakan panjang, jalan sempit, dan perjalanan yang menguji kesabaran. Malah, episod itu tidak terhenti di situ. Ketika pulang semula ke Lembah Klang selepas cuti perayaan, mereka sekali lagi berdepan perjalanan yang sama panjang dan meletihkan. Kisah ini turut dirasai oleh mereka yang pulang ke selatan, utara, dan dua negeri di Pantai Timur sebelum tiba ke Kelantan. Kita sering meraikan kisah ini sebagai bukti ketahanan dan kasih sayang. Tetapi dalam masa yang sama, ia juga mencerminkan betapa usaha giat perlu dilakukan untuk melancarkan perjalanan bukan hanya ketika perayaan tetapi dalam kehidupan seharian. Tidak wajar pengorbanan itu terus dinormalisasikan tanpa usaha serius untuk memperbaikinya pada masa depan. Harapan tetap ada. Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dilihat sebagai satu langkah ke hadapan dalam merapatkan jurang mobiliti antara Pantai Timur dan Lembah Klang. Namun, ia tidak boleh berdiri sendiri. Perlu ada iltizam berterusan daripada kerajaan persekutuan dan negeri untuk mempercepat pembinaan lebuh raya baharu, menaik taraf jalan sedia ada, serta memperluas pilihan pengangkutan awam. Masalah air Selain kisah kesesakan balik kampung, media sosial turut menjadi ‘platform mengadu masalah’ bekalan air di beberapa daerah di Kelantan. Seorang rakan menziarah keluarga di Pasir Mas menceritakan pengalaman tidak mengenakkan: mereka terpaksa menumpang mandi di masjid kerana tiada bekalan air di homestay yang disewa pada harga RM290 semalam. “Kalau hendak guna tandas di stesen minyak, kena bawa air sendiri...jualan air mineral laku,” kongsinya. Kisah ini menonjolkan dua realiti yang bertindih— kesibukan musim perayaan yang meningkatkan permintaan dan kesediaan sistem sedia ada. Paip pecah, kapasiti tangki terhad atau bekalan yang tidak sekata menjadi ujian nyata bagi penduduk dan perantau yang ingin meraikan Aidilfitri dengan selesa. Ia bukan sekadar masalah logistik, tetapi juga cabaran hak asasi asas—akses kepada air bersih. Raya berhemah Dunia maya juga tidak sunyi dengan video detuman mercun dan bunga api yang menghiasi langit malam. Namun, kemeriahan itu kadangkala berlarutan sehingga melepasi jam 12 tengah malam—waktu yang sepatutnya memberi ruang ketenangan, khususnya kepada mereka yang memerlukan rehat. Suara-suara kritis menyifatkan perbuatan itu sebagai ‘membakar duit’ secara literal—satu sindiran nakal, tetapi ada asasnya. Dalam konteks dunia yang menyaksikan konflik berpanjangan di Asia Barat, timbul seruan agar masyarakat lebih berhemah dalam berbelanja dan meraikan. Berhemah tidak bermaksud mengurangkan kegembiraan, tetapi memastikan kemeriahan itu tidak melampaui batas atau mengabaikan sensitiviti sekeliling. Akhirnya, Syawal bukan sekadar tentang pulang ke kampung atau langit yang bercahaya dengan bunga api. Ia adalah tentang keseimbangan—antara tradisi dan kemajuan, antara kegembiraan dan tanggungjawab. Jika perjalanan 20 jam itu lambang cinta, sudah tiba masanya kita menterjemahkan cinta itu kepada tindakan—dengan menyediakan kemudahan lebih baik, infrastruktur yang cekap dan pengurusan sumber air yang lebih teratur. Dalam masa sama, meraikan Syawal dengan penuh kesederhanaan, makna, dan kesedaran sosial supaya pengorbanan perantau tidak sia-sia dan kegembiraan perayaan dapat dinikmati semua pihak. Penulis ialah pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT. Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Share this post: