TheMalaysiaTime

Berang ditegur nasi belum masak, pekerja restoran tetak tangan rakan

2026-03-17 - 04:03

Ketua Polis Tawau Jasmin Hussin berkata suspek telah ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Seorang lelaki bertindak luar kawalan dengan menetak tangan rakannya selepas ditegur nasi belum dimasak oleh rakan sekerjanya itu, dalam kejadian di Tawau, kelmarin. Kejadian itu menyebabkan mangsa terpaksa dikejarkan ke Hospital Tawau akibat kecederaan di tangan kanan. Ketua Polis Tawau, Jasmin Hussin, berkata pihaknya telah menerima laporan polis berhubung kejadian itu. “Menurut maklumat, semasa berada di tempat kerja di sebuah restoran, mangsa telah menegur suspek yang juga rakan sekerjanya kerana mendapati nasi belum dimasak. “Suspek yang ditegur tiba-tiba menjadi emosi dan bertindak luar kawalan lalu menetak bahagian tangan mangsa menggunakan pisau pemotong ikan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Sinar Harian. Beliau berkata, polis kemudiannya mengesan suspek berusia 21 tahun dan menahannya. “Suspek yang juga pekerja di restoran tersebut berjaya ditahan di sekitar kawasan tepi jalan Jalan Habib Hussein di sini. “Turut dirampas pisau berukuran 33 sentimeter dan plastik putih dipercayai ada kaitan dengan kes yang disiasat,” katanya. Beliau berkata kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Share this post: