TheMalaysiaTime

Berang bayi menangis, lelaki tumbuk teman wanita hingga lebam

2026-03-03 - 08:43

Suspek lelaki diburu polis selepas menumbuk teman wanita dalam kejadian Rabu lalu. (Gambar Freepik) PETALING JAYA: Berang dengan tangisan bayi berusia 10 bulan, seorang lelaki menumbuk muka teman wanitanya sehingga lebam dalam kejadian di sebuah kondominium di Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur, Rabu lalu. Ketua Polis Sentul, Basri Bin Sagoni, berkata mangsa warga tempatan berusia 44 tahun mendakwa kejadian berlaku di bilik sewanya di Sky Awani 2 sekitar 11 malam. Katanya, siasatan awal mendapati suspek yang merupakan kenalan mangsa sejak Januari lalu bertindak agresif selepas hilang sabar mendengar tangisan anak wanita itu. “Mangsa turut mendakwa dipaksa melakukan hubungan seks luar tabii tanpa kerelaan oleh suspek di lokasi sama keesokan harinya. Akibat kejadian, mangsa mengalami kesakitan di bahagian terbabit. “Mangsa juga diugut oleh suspek dengan berkata ‘jangan beritahu sesiapa, nanti kau tahu la nasib kau, aku boleh buat apa-apa sahaja’ menyebabkan mangsa berasa terancam,” katanya dalam kenyataan. Bagaimanapun, pemeriksaan perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendapati tiada kesan kemasukan seperti didakwa mangsa. Basri berkata, mangsa dan suspek tidak mempunyai sebarang ikatan perkahwinan dan lelaki itu hanya menumpang di bilik sewa tersebut. Menurutnya, polis kini giat mengesan suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Share this post: