TheMalaysiaTime

Benarkan bunga api penuhi piawaian keselamatan global, kata peguam

2026-03-22 - 06:21

Polis kini hanya membenarkan penjualan 45 jenis bunga api jenama ‘Happy Boom’ dan ‘Pop-Pop’. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Seorang peguam menyarankan kerajaan membenarkan penjualan bunga api memenuhi piawaian keselamatan antarabangsa bagi membendung pengedaran dan penjualan mercun haram. Jason Ong berkata, pendekatan semasa terhadap bunga api haram, yang lebih berisiko menyebabkan kemalangan, memfokuskan penguatkuasaan. Tetapi, jelasnya, langkah itu tidak cukup konsisten untuk membendung penjualan dan penyeludupan bunga api haram kekal berleluasa dengan rasuah mungkin antara puncanya. Beliau berkata, hukuman lebih berat terhadap pihak menyeludup, mengedar atau menjual mercun haram tidak bermakna, jika penguatkuasaan undang-undang berkaitan masih lemah. “Hukuman lebih berat tiada maknanya jika penguatkuasaan terus sambil lewa dan bersifat terpilih. Tetapi, bagi bunga api mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa, ia sepatutnya dibenarkan,” katanya kepada FMT. Bekas Adun Kebun Bunga itu berkata, Akta Bahan Letupan 1957 perlu dipinda untuk memperincikan jenis mercun yang dibenarkan dan dilarang. “ketika ini, akta ini memgokuskan kawalan dan pelesenan,” katanya sambil menambah peraturan dapat memastikan piawaian keselamatan untuk mercun dan melindungi keselamatan pengguna lebih baik. Pada 18 Mac lalu, pesuruhjaya kanak-kanak Suhakam menggesa pihak berkuasa meningkatkan penguatkuasaan terhadap mercun haram, selepas seorang kanak-kanak lelaki empat tahun kehilangan beberapa jari dan cedera serius dalam letupan mercun. Mereka berkata, terdapat peningkatan kes kanak-kanak cedera bermain mercun haram dan menggesa Akta Bahan Letupan 1957 dikaji semula untuk hukuman lebih berat dikenakan terhadap pihak menyeludup, mengedar atau menjual mercun haram. Buat masa ini, polis hanya membenarkan penjualan 45 jenis bunga api jenama “Happy Boom” dan “Pop-Pop”. Ahli kriminologi dari Universiti Sains Malaysia, P Sundramoorthy, berkata langkah pencegahan mercun haram tidak berkesan akibat permintaan tinggi, pasaran tidak formal dan penerimaan budaya. “Persepsi terhadap hukuman masih rendah yang melemahkan kesan pencegahan,” katanya sambil menambah larangan menyeluruh terhadap bunga api boleh mengukuhkan lagi pasaran gelap, khasnya apabila larangan itu tidak selaras amalan sosial. Beliau berkata, bermain bunga api masih sebati dalam tradisi perayaan, dengan ramai rakyat mewajarkannya sebagai aktiviti tahunan walaupun ia berlaku sepanjang beberapa perayaan yang disambut setiap tahun. Untuk menangani isu bunga api haram dengan lebih berkesan, beliau menyarankan penguatkuasaan yang diketuai risikan menyasarkan rantaian bekalan, termasuk laluan import, pusat penyimpanan dan rangkaian pengedaran. Jelasnya, pengawalan bunga api adalah pendekatan baik, tetapi ibu bapa dan penjaga perlu diwajibkan untuk menyelia kanak-kanak bawah 16 tahun yang bermain mercun.

Share this post: