Beli minyak masak peket guna IC dijangka hujung tahun ini, kata Fuziah
2026-03-05 - 11:04
Timbalan Menteri KPDN Fuziah Salleh, berkata kerajaan belanja RM2 bilion bagi pemberian subsidi minyak masak peket setahun. PETALING JAYA: Pembelian minyak masak bersubsidi menggunakan kad pengenalan dijangka dapat digunakan pada hujung tahun ini, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Timbalan Menteri Fuziah Salleh, berkata ketika ini kerajaan sedang melaksanakan proses integrasi penggunaan kad pengenalan dengan terminal MyKasih. “Buat masa ini kita masih menggunakan kod QR itu sebagai langkah untuk memastikan bahawa subsidi minyak masak peket ini sampai kepada hanya yang layak membelinya. “Jadi, hujung tahun ini kita unjurkan sistem itu akan bersedia sebab kita dalam proses mengintegrasikan kad pengenalan ke dalam sistem kita. “Ini disebabkan data sekarang ini kita kutip melalui Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS),” katanya menurut Harian Metr. Terdahulu, dilaporkan Menteri Armizan Mohd Ali, berkata warga asing akan dilarang membeli minyak masak bersubsidi bermula 1 Mac. Dalam pada itu, Fuziah berkata, kerajaan membelanjakan RM2 bilion bagi pemberian subsidi minyak masak peket setahun. Katanya, pihaknya mengesan 951 kes ketirisan minyak masak peket direkodkan dari Januari 2024 hingga Februari lalu dengan nilai rampasan RM4.5 juta.