TheMalaysiaTime

Bekerja dari rumah: P Pinang tunggu arahan Putrajaya

2026-03-27 - 11:30

Kerajaan Pulau Pinang menunggu arahan lanjut daripada Putrajaya berhubung BDR bagi penjawat awam. (Gambar Facebook) GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang sedang meneliti pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) bagi penjawat awam susulan cabaran kenaikan harga bahan api, khususnya diesel berikutan krisis di Asia Barat. Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri akan terlebih dahulu menunggu arahan lanjut daripada kerajaan persekutuan sebelum buat sebarang keputusan. “Pendekatan BDR bukan sesuatu yang baharu kerana ia pernah dilaksanakan ketika pandemik Covid-19 tetapi kita tunggu arahan kerajaan persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Gen Ai Chatbot Majlis Bandaraya Pulau Pinang. Beliau berkata pelaksanaan BDR ialah langkah bagi mengurangkan beban kos operasi dan pergerakan harian susulan peningkatan harga petrol dan diesel semasa. Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang memperincikan pelaksanaan kerja lebih anjal bagi penjawat awam. Sementara itu, Chow berkata kenaikan harga diesel semasa memberikan kesan tidak langsung sektor kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang seperti perkhidmatan pengurusan sisa pepejal yang bergantung sepenuhnya kepada penggunaan diesel. Beliau menjelaskan trak pengangkut sampah yang beroperasi setiap hari memerlukan diesel bagi memastikan kutipan sisa berjalan lancar mengikut jadual. “Ada yang tidak boleh menggunakan diesel subsidi dan perlu menggunakan diesel industri, maka dengan lonjakan harga ia akan menjejaskan kontraktor kami dari segi kos,” katanya. Beliau berkata situasi tersebut berbeza dengan sektor lain yang boleh mengurangkan operasi bagi menampung kos seperti pengendali feri di Pulau Langkawi yang dilaporkan mengurangkan kekerapan perjalanan susulan kenaikan harga diesel. “Sampah perlu diangkat setiap hari mengikut jadual tetapi ini akan membabitkan kos yang mungkin perlu ditanggung oleh PBT sebab memang ada klausa dan direktif bahawa kontraktor boleh tuntut peningkatan harga daripada pihak yang memberikan kontrak seperti PBT,” katanya.

Share this post: