TheMalaysiaTime

Bekas rakan perniagaan Pui Yi ditahan reman

2026-03-05 - 04:33

Siew Pui Yi sebelum ini memenangi penghakiman secara ingkar terhadap Lai Kai Jian, untuk menuntut semula RM4.3 juta yang didakwa diserahkan kepadanya bagi membayar cukai. GEORGE TOWN: Pertikaian pempengaruh media sosial, Siew Pui Yi, dengan bekas rakan perniagaannya, Lai Kai Jian, kini memasuki fasa baru selepas penahanan lelaki itu. Peguamnya, K Mahendran, berkata Majistret Nur Syahirah Suhkri mengeluarkan perintah reman empat hari ke atas Lai bagi membolehkan beliau membantu siasatan polis di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan berhubung dakwaan penipuan. Pada Julai 2024, Siew memperoleh penghakiman ingkar di Mahkamah Tinggi sebanyak RM4.3 juta selepas Lai gagal hadir untuk membela tuntutan tersebut. Dalam tuntutan itu, Siew mendakwa Lai, yang juga dikenali sebagai ‘Mentos’, telah melarikan dana sepatutnya digunakan untuk menyelesaikan tunggakan cukainya dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Siew berkata tunggakan cukai itu menyebabkan beliau dikenakan sekatan perjalanan oleh LHDN, sekali gus menyebabkan beliau terlepas empat program di Australia.

Share this post: