Bekas pengarah telco mengaku tak salah rasuah RM8 juta
2026-02-23 - 05:23
Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Rosli Ahmad benar tertuduh diikat jamin RM150,000 dan menetapkan 30 Mac untuk sebutan semula kes. PETALING JAYA: Seorang bekas pengarah syarikat telekomunikasi didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan memberi rasuah RM8 juta kepada pengarah urusan kumpulan sebuah bank bagi meluluskan satu pinjaman. Ranjeet Singh Sidhu, 56, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad, hari ini. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009 kerana secara rasuah meminta atau menerima, atau bersetuju untuk menerima, atau cuba memperoleh apa-apa suapan untuk diri sendiri atau orang lain, sebagai dorongan atau upah untuk melakukan perbuatan berhubung dengan hal ehwal/urusan prinsipalnya. Ranjeet juga dituduh menggunakan dokumen palsu — satu jaminan penyelesaian bersama — untuk memenuhi syarat bagi pinjaman berjumlah RM400 juta bagi membiayai satu projek gentian optik. Beliau juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana sengaja menggunakan dokumen palsu atau dokumen dipalsukan. Rosli menetapkan jaminan RM150,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Mac ini sebutan semula kes. BERITA LANJUT MENYUSUL