TheMalaysiaTime

Bekas pengarah SRC tak tahu RM42 juta pindah ke akaun Najib

2026-03-05 - 09:23

SRC International dan anak syarikatnya memfailkan saman terhadap bekas perdana menteri Najib Razak untuk dapatkan semula RM42 juta yang diseleweng daripada syarikat itu. (Gambar Bernama) KUALA LUMPUR: Bekas pengarah SRC International, Ismee Ismail memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau tidak mempunyai pengetahuan mengenai pemindahan wang RM123 juta daripada syarikat itu dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd, kepada Ihsan Perdana Sdn Bhd 11 tahun lalu. Ismee juga memberitahu bahawa beliau tidak menyedari tentang pemindahan seterusnya wang RM42 juta ke dalam akaun peribadi bekas perdana menteri, Najib Razak. Semasa pemeriksaan utama, Ismee, 61, mendakwa beliau hanya menyedari transaksi tersebut selepas dipanggil oleh pihak berkuasa untuk membantu siasatan melibatkan pinjaman daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), serta melalui prosiding mahkamah Najib. “Pemindahan tersebut berlaku pada Dis 2014 dan Feb 2015. Bagaimanapun, saya telah meletak jawatan daripada syarikat itu pada 15 Ogos 2014,” katanya ketika disoal oleh peguamnya, How Li Nee. Ismee juga menolak dakwaan Najib bahawa lembaga pengarah SRC International telah melanggar kewajipan fidusiari mereka, yang menyebabkan kerugian kepada syarikat. “Lembaga pengarah telah melaksanakan arahan dan keputusan pemegang saham dengan niat baik tanpa mengesyaki sebarang aktiviti jenayah. “Pada pemahaman saya, adalah menjadi hasrat kerajaan untuk melaksanakan aktiviti pelaburan yang baik untuk negara yang akan direalisasikan melalui syarikat itu sebagai syarikat tujuan khas,” katanya. Najib, atas kapasitinya sebagai menteri kewangan pada ketika itu, merupakan pemegang saham tunggal SRC melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc). SRC International dan Gandingan Mentari menyaman Najib untuk mendapatkan semula RM42 juta yang didakwa diselewengkan daripada akaun syarikat tersebut. Najib kemudiannya menamakan enam bekas pengarah, termasuk Ismee, sebagai saksi pihak ketiga, dengan mendakwa mereka memikul tanggungjawab penuh atau sebahagian jika mahkamah mendapati beliau bertanggungan terhadap kedua-dua syarikat itu atas kerugian mereka. Pengarah-pengarah lain yang dinamakan ialah Suboh Yassin, Azhar Osman Khairuddin, Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Nik Faisal Ariff Kamil, dan Shahrol Azral Ibrahim Halmi. Najib, 72, dipenjarakan sejak 23 Ogos 2022, susulan sabitannya kerana menyelewengkan dana SRC sebanyak RM42 juta. Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Pada 29 Jan 2024, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan tempoh penjara beliau kepada enam tahun, dan mengurangkan dendanya kepada RM50 juta. Pada 26 Dis tahun lepas, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun ke atas Najib dan denda RM11.387 bilion susulan sabitannya dalam kes 1MDB, dengan tempoh penjara tersebut bermula sejurus selepas beliau tamat menjalani tempoh penjara semasa. Peguam kanan Shafee Abdullah mewakili Najib, manakala Kwan Will Sen bertindak bagi pihak SRC. Perbicaraan di hadapan Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung esok.

Share this post: