Bekas pembantu Rafizi bidas SPRM keluar notis pencarian awam
2026-03-04 - 09:53
SPRM sebelum ini mengumumkan usaha mengesan James Chai untuk membantu siasatan. (Gambar SPRM) PETALING JAYA: Bekas pegawai kepada bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli membidas tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan notis untuk mengesannya, menyifatkan tindakan itu sebagai ‘keterlaluan dan berpotensi memfitnah’. Chai Jin Shern, juga dikenali sebagai James Chai, berkata notis itu menyertakan alamat rumah keluarga yang didiami ibu bapanya, mendedahkan mereka kepada bahaya yang tidak sepatutnya. Perkara ini ‘tidak akan dimaafkannya sama sekali’, tegasnya. “Mereka boleh sahaja bertanya kepada rakan-rakan atau bekas rakan sekerja saya dalam kerajaan,” katanya dalam kenyataan tegas yang dikeluarkan hari ini. “Mereka juga boleh menghantar e-mel atau mesej kepada saya di media sosial, atau mencari saya di LinkedIn untuk mengetahui perkembangan terkini saya.” Chai yang kini bekerja di United Kingdom berkata, pencarian awam itu seolah-olah berniat menggambarkan dirinya sebagai pelarian yang menyembunyikan sesuatu. “Ini keterlaluan dan berpotensi memfitnah. Saya anggap (tindakan ini) memang disengajakan,” katanya. Chai merupakan pegawai tugas-tugas khas Rafizi ketika Ahli Parlimen Pandan itu menjadi menteri ekonomi. Beliau meninggalkan kementerian tersebut selepas Rafizi meletak jawatan sebagai menteri pada Mei lepas. BERITA LANJUT MENYUSUL