Bekas pembantu kewangan mengaku pecah amanah lebih RM800,000
2026-03-11 - 04:44
Tertuduh, Lee Lay Peng, 47, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Georgetown hari ini terhadap lima tuduhan pecah amanah berjumlah RM897,514. (Gambar fail) PETALING JAYA: Seorang bekas pembantu kewangan sebuah syarikat swasta mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Georgetown hari ini terhadap lima tuduhan pecah amanah berjumlah RM897,514. Tertuduh, Lee Lay Peng, 47, membuat pengakuan itu secara berasingan di hadapan Hakim Juraidah Abbas dan Irwan Suainbon, lapor Berita Harian. Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan pecah amanah wang berjumlah RM219,885 di Syarikat Bold Integrated Service Sdn Bhd, Metro Avenue, Lintang Hajjah Rehmah, Jelutong dalam Daerah Timur Laut pada 13 Januari 2020 hingga 5 April 2020. Timbalan Pendakwa Raya Anuarul Hakim Abdul Muen yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu jatuh hukuman. Mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 22 April sebagai tarikh serahan dokumen. Sementara itu, di mahkamah sesyen berasingan, tertuduh mengaku salah terhadap empat lagi pertuduhan pecah amanah berjumlah RM677,629.50 kira-kira lapan tahun lalu. Dia didakwa melakukan perbuatan itu di lokasi sama pada 16 Jun 2017 hingga 27 Disember 2019 dan dakwaan dibuat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun serta sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M Darrshini manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Darrshini menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan dan mengemukakan syarat supaya tertuduh melapor diri di balai polis setiap awal bulan sehingga kes selesai. Lee kemudiannya memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan dia adalah ibu tunggal yang perlu menyara dua anak berusia 17 dan 18 tahun yang masih bersekolah. Menurutnya, dia turut berdepan masalah kemurungan selain memberi kerjasama baik kepada polis sepanjang siasatan. Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 14 April depan sebagai tarikh menjatuhkan hukuman dan mendengar fakta kes.