Bekas menteri antara tak hadir untuk undi RUU had tempoh jawatan PM
2026-03-02 - 14:43
Hishammuddin Hussein merupakan bekas menteri dalam negeri, manakala M Saravanan bekas menteri sumber manusia. PETALING JAYA: Dua bekas menteri dikatakan antara lapan Ahli Parlimen daripada blok kerajaan yang tidak hadir semasa pengundian rang undang-undang berkaitan pengehadan tempoh jawatan perdana menteri. Menurut sumber Pakatan Harapan, dua individu tersebut ialah Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein, dan Ahli Parlimen Tapah, M Saravanan. Hishammuddin merupakan bekas menteri dalam negeri, manakala Saravanan bekas menteri sumber manusia. Enam lain dikatakan Larry Sng (Julau), Syed Hussin Hafiz Syed Abu Fasal (Bukit Gantang), Henry Sum Agong (Lawas), Suhaimi Nasir (Libaran), Riduan Rubin (Tenom), dan bekas timbalan ketua menteri Sabah, Jeffrey Kitingan (Keningau). Pindaan Perlembagaan itu, yang dibentangkan sebagai RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 1) 2026, mahu mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal, dan terpakai ke atas bekas perdana menteri, sekiranya ia diluluskan Parlimen. Di sebalik sokongan pelbagai pihak, Dewan Rakyat bagaimanapun menyaksikan 44 wakil rakyat tidak mengundi manakala 32 lagi tidak hadir. RUU itu memerlukan sekurang-kurangnya 148 ahli Dewan Rakyat menyokong daripada 222 orang, namun petang tadi menyaksikan ia kekurangan dua undi. Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau, menulis di Facebook bahawa lapan Ahli Parlimen daripada blok kerajaan tidak hadir. FMT sedang mendapatkan reaksi Ahli Parlimen dikatakan tidak hadir itu.