Bekas KP perisikan mengaku tak salah rasuah
2026-01-29 - 01:41
Bekas ketua pengarah perisikan pertahanan Razali Alias tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan menerima suapan. (Gambar Facebook) KUALA LUMPUR: Bekas ketua pengarah perisikan pertahanan, Razali Alias mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan menerima suapan di Mahkamah Sesyen di sini. Razali, 59, mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Suzana Hussin. Bagi pertuduhan pertama, Razali dituduh menerima USD20,000 antara Ogos dan November 2024 sebagai dorongan meluluskan pensijilan dan penerimaan perkhidmatan bagi perolehan perkhidmatan penyelenggaraan serta sokongan untuk sistem Pusat Operasi Pertahanan Siber. Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. Razali turut berdepan dua pertuduhan bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan atas dakwaan menerima barang berharga untuk isterinya, Azarina Bakia, tanpa balasan daripada Sheikh Ahmad Nafiq Sheikh A Rahman, pengarah Intelligence PC Centre Sdn Bhd, yang dilaporkan mempunyai kaitan dengan tugas rasminya. Razali dituduh menerima RM26,800 pada 15 Nov 2024 untuk tiket penerbangan pergi balik antara Kuala Lumpur dan Malaga, Sepanyol. Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa menerima RM37,800 untuk tiket penerbangan pergi balik antara Kuala Lumpur dan Estonia pada 28 April 2025, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun, denda atau kedua-duanya. BERITA LANJUT MENYUSUL