Bekas ahli farmasi gagal saman hospital wajib ambil vaksin Covid-19
2026-03-24 - 05:21
Mahkamah Tinggi memutuskan dasar hospital mewajibkan semua kakitangan mematuhi langkah pencegahan Covid-19 ketat sepanjang pandemik 2021-2022 tidak boleh dianggap ‘tidak munasabah’. KUALA LUMPUR: Seorang bekas ahli farmasi gagal menyaman sebuah hospital swasta atas dakwaan pelanggaran kontrak pekerjaan selepas menolak vaksin Covid-19, dengan Mahkamah Tinggi memutuskan Mahkamah Perusahaan lebih sesuai mendengar pertikaiannya. Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong ketika menolak rayuannya berkata, Sapura Noh yang juga ahli farmasi pernah berkhidmat dengan Sentosa Medical Centre Sdn Bhd, telah memfailkan permohonan rujukan di Mahkamah Perusahaan. “Dia tidak mengalami sebarang kerugian atau prejudis, dan menggunakan haknya untuk merujuk pertikaiannya ke Mahkamah Perusahaan,” katanya. Gan turut memutuskan dasar hospital itu tidak dianggap tidak munasabah kerana mewajibkan semua kakitangan mematuhi langkah pencegahan Covid-19 “tertinggi dan paling ketat” sepanjang pandemik 2021 dan 2022. “Memandangkan plaintif tidak menerima sebarang vaksinasi, ia tidak dianggap tidak munasabah untuk mewajibkan kakitangan menolak vaksinasi mengambil ‘cuti tanpa gaji’ sehingga peralihan daripada fasa pandemik kepada endemik.” Sapura memfailkan saman di Mahkamah Sesyen dengan mendakwa dia “dipaksa” meletak jawatan pada 2022 selepas berulang kali menolak vaksinasi. Hospital itu pada 2021 mewajibkan semua kakitangan divaksin untuk memasuki premisnya. Mereka yang gagal mematuhi arahan berkenaan tanpa alasan sah diarahkan bercuti tanpa gaji. Sapura diarahkan bercuti tanpa gaji sementara menunggu siasatan dalaman atas kesalahan ingkar arahan, yang mendapati dia bersalah melanggar arahan jelas, tetapi hanya diberikan amaran.