TheMalaysiaTime

Bazar jana berbilion ringgit namun turut bazir banyak makanan

2026-03-19 - 01:41

Setiap tahun ramai menantikan ketibaan bazar Ramadan dan Aidilfitri. Acara tahunan ini disambut meriah seumpama pesta, dengan pelbagai tawaran makanan dan minuman serta pelbagai pakaian serta aksesori. Bazar Ramadan dan Aidilfitri ialah satu acara tahunan penting bagi ramai pengusaha, terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). Dengan penglibatan ribuan pengusaha dan pekerja, bazar Ramadan dan Aidilfitri menjana nilai jualan yang sangat besar dalam tempoh masa yang singkat. Berdasarkan Laporan Statistik Bazar Ramadan Dan Aidilfitri Malaysia 2025 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah keseluruhan nilai jualan Bazar Ramadan dan Aidilfitri di seluruh negara telah melonjak daripada RM2.4 bilion (2022) kepada RM3.2 bilion (2025). Seiringan, bilangan gerai perniagaan telah meningkat daripada 61,623 kepada 96,549. Jumlah pekerja pula telah meningkat daripada 156,361 orang kepada 281,876 orang. Daripada nilai jualan RM 3.2 bilion itu, bazar Ramadan merekodkan nilai jualan sebanyak RM2.6 bilion dengan pekerja seramai 241,379 orang. Bagi bazar Aidilfitri, nilai jualan berjumlah RM0.6 billion, dengan 40,497 pekerja. Pada tahun 2023, bazar Ramadan merekodkan nilai jualan sebanyak RM2.0 bilion Aidilfitri sebanyak RM0.5 bilion. Di kalangan negeri dan wilayah, nilai jualan tertinggi direkodkan oleh Selangor (RM667.9 juta), iaitu sekitar 20% daripada keseluruhan nilai jualan RM 3.2 bilion. Ini disusuli Johor (RM475.8 juta), Kuala Lumpur (RM381.0 juta), Pulau Pinang (RM272.3 juta) dan Kedah (RM218.4 juta). Di Malaysia Timur, nilai jualan yang direkodkan ialah Sarawak (RM170.6 juta), Sabah (RM126.7 juta) dan Labuan (RM6.9 juta). Bagi Sabah, dalam tempoh masa 2 tahun, nilai jualan telah melonjak hampir 35%, daripada RM94.8 juta (2023) kepada RM126.7 juta (2025), melibatkan 5,595 gerai perniagaan dan 13,930 pekerja. Ini meletakkan Sabah dengan nilai jualan kesembilan tertinggi di seluruh negara. Di kalangan daerah pentadbiran pula, nilai jualan tertinggi direkodkan oleh Johor Bahru (RM261.1 juta), merangkumi sekitar 8% daripada keseluruhan nilai jualan RM 3.2 bilion. Ini disusuli oleh tiga daerah di Selangor: Petaling (RM184.7 juta), Gombak (RM122.0 juta) dan Klang (RM110.8 juta). Menariknya, bagi bazar Ramadan, nilai jualan tertinggi direkodkan oleh Selangor (RM558.0 juta), Kuala Lumpur (RM361.9 juta) dan Johor (RM331.5 juta). Bagi bazar Aidifitri, nilai jualan tertinggi direkodkan oleh Johor (RM144.3 juta), disusuli Selangor (RM109.8 juta) dan Kedah (RM53.9 juta). Jelas sekali, setiap tahun bazar Ramadan dan Aidilfitri antara platform penting bagi ramai rakyat Malaysia menjana pendapatan, sama ada sebagai sumber pendapatan utama mahupun sampingan. Peningkatan bilangan gerai perniagaan dan jumlah pekerja menggambarkan kesungguhan ramai rakyat untuk menambah pendapatan dan turut menikmati secebis daripada nilai jualan berbilion ringgit itu. Malangnya, kemeriahan bazar Ramadan dan Aidilfitri terus menerus dicemari dengan isu pembaziran. Setiap tahun, jumlah sisa makanan yang dikutip sepanjang bulan Ramadan sangat besar, termasuklah dari bazar di seluruh negara. Sebagai contoh, baru-baru ini, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dilaporkan berkata MBPP mengumpul sehingga 30 tan sisa makanan setiap hari daripada 26 Bazar Ramadan. Data Alam Flora pula menunjukkan kutipan sisa domestik di Kuala Lumpur sepanjang 1 hingga 25 Ramadan pada tahun ini telah melonjak besar 23% kepada 45,108.31 tan, berbanding 36,797.55 tan dalam tempoh sama pada tahun 2025. Sebaliknya, Pahang merekodkan penurunan besar 28%, daripada 18,841.18 tan metrik kepada sebanyak 13,618.59 tan. Menurut Alam Flora, lebihan makanan di Bazar Ramadan adalah antara penyumbang terbesar kepada peningkatan jumlah sisa, selain plastik bungkusan dan bekas polisterin. Malah, dianggarkan sehingga 60% sisa makanan boleh dielakkan menerusi perancangan pembelian dan kaedah penyimpanan makanan yang betul. Selain itu, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) turut melaporkan peningkatan jumlah sisa pepejal di antara 15 – 20% semasa bulan Ramadan berbanding hari biasa, berikutan pertambahan aktiviti perniagaan, operasi bazar dan bufet berbuka puasa. Pada hari biasa, purata sisa pepejal ialah 400 – 500 tan sehari, berbanding 500 – 600 tan sehari sepanjang bulan Ramadan. Namun menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata pelupusan sisa makanan pada Ramadan telah merekodkan trend penurunan yang konsisten setiap tahun. Kejayaan ini adalah hasil daripada peningkatan kesedaran masyarakat yang menghargai makanan dan mengamalkan perbelanjaan lebih berhemah. Berdasarkan data Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), komposisi sisa makanan daripada keseluruhan sisa yang dikutip dijangka menurun kepada 39.62% pada tahun ini, berbanding 44.5% (2023) dan 40.97% (2025). Walaupun ada trend penurunan, jumlah sisa makanan negara masih besar. Sebenarnya, isu pembaziran makanan di Malaysia sudah mencapai tahap meruncing sehinggakan Malaysia telah menjadi ‘johan’ di dalam laporan Food Waste Index Report 2021 oleh United Nations Environment Programme (UNEP). Malaysia dilapor menghasilkan sisa makanan terbanyak di dunia berjumlah 8.3 juta tan setahun ataupun secara purata 259.82 kg seorang setahun. Seterusnya, di dalam laporan Food Waste Index Report 2024, Malaysia berada di kedudukan ke-4 tertinggi di Asia Tenggara, dengan jumlah sisa makanan sebanyak 81kg seorang setahun. Jumlah sisa makanan yang dihasilkan oleh negara-negara ASEAN yang lain ialah: Laos (89kg), Thailand (86kg), Cambodia (85kg), Myanmar (78kg), Brunei (76kg), Vietnam (72kg), Singapura (68kg), Indonesia (53kg) dan Filipina (26kg). Sehubungan itu, Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) pada hujung tahun lalu menyokong cadangan penggubalan Akta Pengurangan Sisa Makanan bagi menangani isu pembaziran makanan yang meruncing. Selain undang-undang, bagi pencapaian yang mampan, Fomca juga menekankan pendekatan pendidikan dan kesedaran awam untuk semua pihak terbabit kerana pembaziran berlaku di setiap peringkat rantaian makanan. Seterusnya, Fomca menekankan kepentingan pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan 12 (SDG 12): Responsible Consumption and Production, di dalam perancangan, pembelian, penyediaan serta pengagihan makanan. Inilah dilema yang melanda negara. Tatkala ramai rakyat bergelut dengan cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat, pembaziran makanan terus berlaku merata-rata di dalam jumlah yang sangat besar. Penulis adalah pembaca FMT. Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Share this post: