TheMalaysiaTime

Bas bawa 31 penumpang terbabit nahas 3 kenderaan dekat Rawang

2026-02-05 - 00:46

Keadaan di lokasi nahas tiga kenderaan di KM433 Lebuhraya Utara-Selatan menghala selatan dekat Rawang awal pagi tadi. (Gambar JBPM) KUALA LUMPUR: Seramai 31 individu terbabit kemalangan sebuah bas ekspres, lori dan treler di KM433 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala selatan berhampiran Rawang, awal pagi tadi. Difahamkan, tiada kematian dilaporkan setakat ini, tetapi sekurang-kurangnya dua mangsa tersepit dalam kenderaan dan sudah dikeluarkan pasukan bomba. Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata 16 anggota bomba bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa serta Rawang bergegas ke lokasi selepas panggilan kecemasan diterima 5.12 pagi tadi. “Bas berkenaan membawa 14 lelaki, lima wanita, tujuh kanak-kanak serta dua pemandu. “Pemandu bas, iaitu lelaki tempatan berusia 39 tahun tersepit dan cedera pada bahagian kaki, namun berjaya dikeluarkan anggota bomba pada 6.05 pagi,” katanya dalam kenyataan. Beliau berkata, pemandu lori bonded 10 tan itu turut dilaporkan tersepit, tetapi status kecederaannya belum dikenal pasti ketika operasi menyelamat dijalankan. Menurutnya, kelindan lori bonded berusia 39 tahun, pemandu lori treler dan beberapa mangsa lain dilaporkan cedera ringan. Katanya, semua mangsa cedera dirawat petugas Kementerian Kesihatan.

Share this post: