Bantuan Lestari Siswa Madani PTPTN salur RM36,000 kepada 72 penuntut asnaf
2026-03-17 - 04:43
Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim (tengah) bergambar bersama penerima Bantuan Lestari Siswa Madani. PETALING JAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional terus memperkukuh kebajikan penuntut institut pendidikan tinggi (IPT) menerusi Bantuan Lestari Siswa Madani dengan menyalurkan bantuan sara hidup kepada golongan kurang berkemampuan. Inisiatif itu menyaksikan seramai 72 penuntut asnaf dari Politeknik Nilai dan Politeknik Port Dickson menerima sumbangan berjumlah RM36,000, dengan setiap seorang mendapat RM500 secara ‘one-off’ yang dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing. Penyerahan bantuan disempurnakan Pengerusi PTPTN, Norliza Abdul Rahim, sempena Majlis Iftar PTPTN Bersama Media, semalam. Menurut Norliza, bantuan itu bertujuan membantu penuntut menangani cabaran kewangan serta memberi sokongan tambahan dalam tempoh pengajian mereka di IPT. “Sepanjang Ramadan, PTPTN menganjurkan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyantuni masyarakat, termasuk Program Imarah Ramadan PTPTN (Imran) di IPT, Jom Kejut Sahur, Raikan Syawal bersama anak yatim dan asnaf serta Bantuan Lestari Siswa Madani,” katanya. Beliau berkata, sebagai agensi bawah Kementerian Pendidikan Tinggi, PTPTN komited untuk memperluas pelaksanaan program CSR khususnya dalam aspek pendidikan. Dalam pada itu, PTPTN turut meraikan pengamal media pada majlis sama sebagai tanda penghargaan atas peranan mereka dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Norliza berkata, media membantu membetulkan persepsi serta mendidik orang ramai mengenai tanggungjawab pembayaran balik pinjaman PTPTN dan perancangan kewangan melalui Simpan SSPN. “Melalui laporan yang tepat, seimbang dan beretika, media membantu memastikan setiap dasar dan usaha penambahbaikan PTPTN difahami dengan jelas oleh pelanggan termasuk pendeposit Simpan SSPN, peminjam, ibu bapa dan masyarakat,” katanya. PTPTN turut menegaskan komitmennya memperkasa amalan penabungan melalui Simpan SSPN bagi mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman, selain memastikan pelajar tidak dibebani hutang selepas tamat pengajian. Simpan SSPN menawarkan pelbagai manfaat termasuk pelepasan cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful, geran sepadan sehingga RM10,000 bagi keluarga layak, dividen kompetitif serta jaminan kerajaan dan patuh syariah.