Bantuan khas Aidilfitri RM1,500 buat penjawat awam Perlis
2026-03-09 - 07:14
Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah berkata bantuan khas itu diharap dapat menyuntik semangat dan meningkatkan prestasi kerja penjawat awam. (Gambar Bernama) KANGAR: Semua penjawat awam Perlis bagi lantikan tetap, kontrak dan sementara serta MySTEP akan menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) sebanyak RM1,500. Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, berkata bantuan sekali beri yang akan dibayar 13 Mac ini diharap dapat menyuntik semangat dan meningkatkan prestasi kerja penjawat awam. “Saya berharap dengan sumbangan ini, sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban perbelanjaan tuan puan dalam meraikan Aidilfitri yang bakal tiba,” katanya berucap pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Perlis di sini. Beliau berkata, pemberian bantuan khas itu bukti komitmen dan keprihatinan kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan penjawat awam negeri untuk terus memberi perkhidmatan cemerlang demi rakyat.