Bantah perang ke atas Iran, ketua Pusat Perangi Keganasan AS letak jawatan
2026-03-18 - 00:31
Ketua Pusat Perangi Keganasan AS Joseph Kent menggesa Donald Trump merangka jalan baharu untuk negara itu atau membiarkan mereka terus terjerumus ke arah kemerosotan dan kekacauan. (Gambar AFP) HAMILTON: Pengarah Pusat Perangi Keganasan Amerika Syarikat (AS), Joseph Kent meletak jawatan pada Selasa sebagai tanda protes terhadap perang dilancarkan AS ke atas Iran, lapor Anadolu Ajansi. “Saya tidak boleh menyokong perang yang sedang berlangsung di Iran atas dasar prinsip moral saya,” tulis Kent dalam sepucuk surat dikongsi di laman X. Beliau berhujah, Iran tidak mendatangkan ancaman mendadak kepada AS dan mendakwa konflik itu dicetuskan atas tekanan pihak luar. Veteran yang pernah dikerahkan ke medan tempur sebanyak 11 kali itu turut menyentuh kehilangan peribadinya, dengan menyifatkan dirinya “suami Bintang Emas” selepas isterinya terkorban dalam peperangan sebelum ini. “Saya tidak boleh menyokong tindakan menghantar generasi akan datang untuk bertempur dan terkorban dalam peperangan yang tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat Amerika, mahupun mewajarkan pengorbanan nyawa rakyat kita.” Beliau seterusnya mengkritik pegawai Israel dan beberapa tokoh media AS dengan mendakwa mereka mengelirukan pentadbiran kerajaan, selain menyamakan situasi itu dengan perang Iraq. “Taktik sama yang digunakan Israel untuk mengheret kita ke dalam perang Iraq yang mendatangkan bencana serta mengorbankan beribu-ribu nyawa lelaki dan wanita terbaik negara. Kita tidak boleh mengulangi kesilapan ini lagi.” Dalam mesej ditujukan terus kepada Presiden AS, Donald Trump, Kent menggesa beliau mengubah haluan. “Anda boleh mengubah haluan dan merangka jalan baharu untuk negara kita, atau anda boleh membiarkan kita terus terjerumus ke arah kemerosotan dan kekacauan. Keputusan di tangan anda,” tulisnya.