TheMalaysiaTime

Bank Negara kekalkan OPR 2.75%

2026-03-05 - 07:43

BNM mengekalkan kadar OPR itu sejak Julai 2025. PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75%, dengan mengambil kira keadaan ekonomi domestik yang stabil walaupun wujud ketidaktentuan berpunca daripada konflik berterusan di Timur Tengah. Bank pusat itu dalam kenyataan berkata paras OPR ketika ini kekal sesuai serta menyokong aktiviti ekonomi dalam persekitaran inflasi yang terkawal. Kadar itu tidak berubah sejak Julai 2025. Bagaimanapun, BNM memaklumkan konflik di Timur Tengah menambah unsur ketidaktentuan kepada ekonomi global, dengan kesannya bergantung kepada tempoh serta tahap keseriusan konflik berkenaan. “Ekonomi Malaysia berdepan cabaran ini daripada kedudukan yang kukuh, disokong pertumbuhan domestik yang teguh, kadar inflasi sederhana, sektor kewangan yang stabil serta kedudukan luaran yang berdaya tahan,” kata BNM. Pada masa sama, BNM memberi peringatan risiko penurunan masih wujud, khususnya jika perdagangan global menjadi lebih perlahan atau pengeluaran komoditi lebih rendah daripada jangkaan. Namun begitu, terdapat juga potensi peningkatan jika prospek pertumbuhan global bertambah baik, permintaan terhadap barangan elektrik dan elektronik meningkat, serta aktiviti pelancongan kekal rancak. Ekonomi Malaysia berkembang 5.2% pada 2025 dan dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan pada tahun ini. Sementara itu, kadar inflasi kekal pada 1.6% pada Januari, tidak berubah berbanding Disember tahun lalu.

Share this post: