Azmin masih tokoh sesuai ketuai PN Selangor, kata penganalisis
2026-03-06 - 01:03
Isnin lalu, Iskandar Samad cadang PN Selangor yang sebelum ini diketuai Azmin Ali perlu diterajui Ab Halim Tamuri. PETALING JAYA: Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali masih diperlukan untuk mengetuai Perikatan Nasional (PN) Selangor walaupun ada cadangan kekosongan ditingalkkannya Disember lalu diisi pemimpin PAS, kata penganalisis. Azmi Hassan berkata pengalaman Azmin sebagai bekas menteri besar Selangor menyebabkannya diterima baik ramai pengundi yang terbukti pada PRN lalu dengan menghalang majoriti dua pertiga gabungan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan. Felo Majlis Profesor Negara itu berpandangan pemilihan Pesuruhjaya PAS Ab Halim Tamuri seperti gesaan Bendahari PAS Iskandar Samad mungkin menjauhkan pengundi bukan Melayu yang diperlukan PN untuk menang. “Untuk menakluk Selangor, PN memerlukan sokongan pengundi bukan Melayu” katanya kepada FMT. “Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar perlu lantik kembali Azmin sebagai ketua PN Selangor.” Isnin lalu, Iskandar berkata PN Selangor perlu diterajui Halim bagi memberi imej baharu kepada gabungan itu dalam mendepani PRN akan datang. Menurut Iskandar, pelantikan Halim mampu menarik sokongan pengundi Melayu-Muslim yang lebih konservatif, selain menyifatkan kredibiliti beliau sebagai ahli akademik dan agamawan sebagai aset penting. Azmin yang juga ketua pembangkang DUN Selangor meletak jawatan ketua PN negeri pada 29 Dis lalu mengikut jejak Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengosongkan kerusi pengerusi PN. Bagaimanapun, pandangan berbeza disuarakan oleh Mazlan Ali yang menyifatkan tuntutan PAS untuk menerajui Selangor sebagai satu cadangan ‘masuk akal’ berdasarkan realiti semasa. Mazlan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata PAS telah menunjukkan peningkatan pengaruh yang ketara di Selangor sejak era reformasi 1998, selain mempunyai sejarah kemenangan kerusi yang besar serta pernah memegang jawatan exco. “Berbanding Bersatu, PAS memiliki jentera parti yang jauh lebih kukuh dan tidak tertanding. Mereka mempunyai pengaruh besar di kawasan luar bandar dan pinggir bandar misalnya Kuala Selangor dan Sabak Bernam melalui naratif Melayu-Islam yang konsisten,” katanya. Menurut beliau, Bersatu seharusnya memberi laluan kepada PAS untuk mengetuai Selangor bagi memastikan PN terus ‘bernafas’ di negeri itu. Katanya, situasi pasca-perpecahan Bersatu memberikan dorongan lebih besar kepada PAS untuk mengambil alih kepimpinan memandangkan kedudukan rakan sekutunya itu yang semakin melemah.