ATM kaji semula modul latihan Palapes untuk tambah baik
2026-02-28 - 13:04
Panglima Angkatan Tentera Malek Razak Sulaiman berkata, walaupun latihan ketenteraan bersifat tegas dan mencabar, setiap pelaksanaan tetap tertakluk kepada prosedur dan garis panduan ditetapkan. (Gambar Bernama) KOTA TINGGI: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang meneliti modul serta prosedur latihan sedia ada, khususnya membabitkan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) bagi memastikan sebarang kelemahan dapat dikenal pasti dan ditambah baik susulan insiden kematian seorang kadet tahun lepas. Panglima Angkatan Tentera Malek Razak Sulaiman berkata, semakan itu merangkumi penelitian terhadap peraturan, prosedur serta bentuk aktiviti latihan termasuk yang berunsur fizikal intensif seperti latihan menembak, latihan tempur, latihan fizikal dan kawad. Katanya, walaupun latihan ketenteraan bersifat tegas dan mencabar pada semua peringkat, sama ada pelapis, rekrut, kadet atauperajurit, setiap pelaksanaan tetap tertakluk kepada prosedur dan garis panduan yang telah ditetapkan. “Proses pembelajaran dan latihan tentera memang agak keras, namun semuanya berdasarkan prosedur, apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan,” katanya ketika ditemui selepas program lawatan ke Pos Tanjung Sepang hari ini. “Jika berlaku pelanggaran terhadap garis panduan atau tindakan melampaui prosedur, kita mempunyai proses dalaman untuk mengambil tindakan.” Malek Razak berkata, penilaian semula itu turut mengambil kira keperluan menambah baik modul latihan Palapes bagi memastikan tiada unsur keterlaluan atau perlakuan tidak wajar berlaku sepanjang latihan. Katanya, langkah itu sebahagian komitmen berterusan ATM untuk memastikan latihan dilaksanakan secara profesional, berdisiplin dan selamat tanpa menjejaskan objektif pembentukan ketahanan fizikal serta mental anggota. Semalam, tiga jurulatih Palapes yang juga pegawai ATM didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menyebabkan kematian seorang pegawai kadet Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Syamsul Haris Shamsudin, 22, Julai tahun lepas. Malek Razak berkata, ATM akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa serta memastikan kebajikan dan hak anggota terlibat, termasuk dari segi persediaan menghadapi proses perundangan, terus dipelihara selaras dengan prinsip keadilan dan tadbir urus institusi. Syamsul Haris meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai 2025 selepas menjalani latihan di Ulu Tiram sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor. Pada 26 Ogos 2025, Mahkamah Tinggi memerintahkan kubur pelatih Palapes itu digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan. Bedah siasat kedua dijalankan di Hospital Kuala Lumpur pada 30 Ogos dan jenazah dikebumikan semula pada hari sama. Pada 2 Dis 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan kes kematian Syamsul Haris diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut oleh polis sebelum tuduhan difailkan di mahkamah.