TheMalaysiaTime

Asing peranan peguam negara, pendakwa raya disasar laksana tahun ini

2026-03-16 - 07:54

Azalina Othman Said berkata, cadangan dan pandangan daripada Ahli Parlimen di luar panel khas perlu disalurkan kepada kepimpinan parti masing-masing. (Gambar Bernama) KUALA LUMPUR: Terdapat konsensus umum merentasi blok politik bahawa peranan peguam negara dan pendakwa raya perlu diasingkan, dengan harapan pembaharuan tersebut dapat dilaksanakan tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said. Azalina, yang mempengerusikan jawatankuasa pilihan khas (JKPK) Parlimen yang ditugaskan meneliti cadangan pindaan perlembagaan itu, menyifatkan mesyuarat pertama panel berkenaan hari ini sebagai ‘amat memberangsangkan’, dengan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dilihat bersetuju dengan cadangan pengasingan tersebut. “Mesti ada pengasingan (tugas). Dan ia mesti dilakukan tahun ini jika boleh,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat tersebut. Azalina berkata, perbincangan hari ini secara umumnya tertumpu kepada lima bidang utama, iaitu mekanisme pelantikan, kelayakan dan prasyarat, tempoh perkhidmatan dan hak, mekanisme pemecatan, serta akauntabiliti institusi. Katanya, ahli jawatankuasa sedar akan pelbagai kebimbangan yang dibangkitkan secara umum dan dalam talian, serta pemerhatian yang dibuat oleh Ahli-ahli Parlimen lain. “Apa yang penting adalah untuk mereka faham isu-isu ini dan salurkannya kepada blok parti masing-masing,” katanya. “Kita harap dapat peroleh komitmen mereka melalui wakil masing-masing di sini untuk dapatkan jumlah undi yang mencukupi (untuk meluluskan undang-undang tersebut).” Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada 3 Mac. RUU itu kemudiannya dirujuk kepada JKPK susulan kebimbangan mengenai ketiadaan akauntabiliti, ketelusan dan kebebasan dalam proses pelantikan serta pemecatan pendakwa raya. Sepuluh Ahli Parlimen PKR turut mengancam tidak menyokong RUU tersebut melainkan Parlimen diberi kuasa mengawasi pendakwa raya. Azalina berkata, jawatankuasa itu telah menjadualkan beberapa mesyuarat pada minggu-minggu akan datang untuk meneliti cadangan tersebut secara terperinci. Matlamatnya, menurut Azalina, adalah memuktamadkan laporan menjelang akhir Mei, sebelum pindaan itu dibentangkan pada sidang Parlimen Jun ini. Mesyuarat-mesyuarat ini ditetapkan pada 9 April, 16 April, 27 April dan 4 Mei, katanya. Azalina berkata, jawatankuasa itu juga akan mendapatkan pandangan daripada pakar akademik dalam bidang tadbir urus dan undang-undang, serta NGO, yang mana sebahagian besarnya akan diundang mengemukakan maklum balas secara bertulis.

Share this post: