AS akan iring kapal tangki lalui Selat Hormuz, jika perlu
2026-03-04 - 04:53
Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran menutup Selat Hormuz kepada kapal atas alasan laluan perairan penting minyak dan gas itu tidak selamat akibat serangan AS serta Israel. (Gambar EPA Images) NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata Tentera Laut negara itu akan mengiringi kapal tangki melalui Selat Hormuz jika perlu, lapor agensi berita Xinhua. “Jika perlu, Tentera Laut AS akan mengiringi kapal tangki melalui Selat Hormuz secepat mungkin,” katanya dalam hantaran di media sosial pada Selasa. Menurutnya, beliau telah mengarahkan Perbadanan Kewangan Pembangunan Antarabangsa (DFC) AS menyediakan apa yang dipanggil insurans risiko politik dan jaminan bagi perdagangan maritim, khasnya tenaga, yang “melalui Teluk”. Terletak antara Teluk dan Teluk Oman, Selat Hormuz satu-satunya laluan laut dari Teluk ke lautan terbuka, mengukuhkan statusnya sebagai antara lokasi strategik paling penting di dunia. Media Iran melaporkan Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran menutup Selat Hormuz kepada kapal atas alasan laluan perairan penting minyak dan gas itu tidak selamat akibat serangan AS serta Israel. Sabtu lalu, serangan udara AS-Israel ke atas Iran mengorbankan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, bersama beberapa ahli keluarganya, komander tentera kanan dan orang awam. Tehran bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan Israel serta pangkalan AS di seluruh Timur Tengah.