TheMalaysiaTime

Armizan seru Sabah, Sarawak bentuk blok teguh sebelum PRU16

2026-02-28 - 11:03

Timbalan Setiausaha Agung GRS Armizan Mohd Ali berkata, walaupun Sarawak sudah ada hala tuju yang jelas dalam politik nasional, Sabah belum lagi kukuh kedudukannya. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Armizan Mohd Ali menggesa Sabah dan Sarawak membentuk blok bersatu yang teguh, bukan sekadar untuk mencukupkan bilangan membentuk kerajaan, tetapi sebagai penggerak agenda utama Putrajaya. Sabah dan Sarawak memegang sejumlah 56 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat, dengan Sabah 25 kerusi dan Sarawak 31. Beliau berkata, berdasarkan keputusan PRU lepas dan landskap politik semasa, tiada mana-mana gabungan tunggal mampu membentuk kerajaan yang stabil dengan sendirinya. “... (ia) memerlukan gabungan pelbagai parti,” katanya kepada pemberita selepas program di Papar, Sabah, hari ini. “Dan sebenarnya trend ini bukan hanya berlaku pada PRU15. Ia telah pun bermula daripada PRU sebelum itu, di mana ada parti yang sebelum ini menang dengan majoriti dua pertiga, kemudiannya menurun sehinggalah kemuncaknya pada PRU15 ... tidak ada lagi parti atau gabungan tunggal yang boleh membentuk kerajaan. “Dan kalau dilihat daripada komposisi jumlah kerusi itu, apabila tiada parti boleh membentuk majoriti mudah tersebut secara bersendirian, maka Sabah dan Sarawak secara keseluruhannya boleh menjadi blok yang penting. Itu realitinya.” Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap gesaan bekas ketua menteri Sabah Salleh Said Keruak, agar Sabah dan Sarawak bersatu menjelang PRU16, memandangkan kedua-dua negeri itu mempunyai kuasa untuk menentukan siapa yang akan membentuk kerajaan persekutuan. Salleh berkata, perpaduan dan agenda bersama yang jelas antara negeri-negeri Borneo adalah penting ketika politik Semenanjung semakin dicorak oleh kaum, agama dan persaingan ideologi. Armizan berkata, walaupun Sarawak sudah mempunyai mandat yang kukuh untuk mentadbir negeri dan hala tuju yang jelas dalam politik nasional, Sabah belum lagi mengukuhkan kedudukannya. Menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup itu berkata, PRN Sabah baru-baru ini menunjukkan bahawa majoriti rakyat Sabah cenderung ke arah parti tempatan, memberi isyarat bahawa mereka mahukan perwakilan yang lebih kukuh. Katanya, walaupun beliau tidak berada dalam kedudukan untuk menasihati pemimpin kanan negeri kerana mereka mempunyai pengalaman dan kebijaksanaan yang jauh lebih luas, beliau menyeru generasi ahli politik muda agar menyahut ‘suara rakyat’. “Kita banyak kerusi dan kita tentukan pendirian kita, kita boleh buat keputusan ikut kita, bukannya jadi penumpang kepada pihak-pihak lain. “Jadi maksudnya apa? Kita kena bertanding dan menang atas satu gabungan kerusi lokallah sebagaimana yang Sarawak buat,” katanya. “Namun kesedaran rakyat tersebut masih lagi, saya fikir, belum diterjemahkan kepada sikap dan pendirian pemimpin-pemimpin di Sabah.

Share this post: