Apa yang susah sangat ni tuan?
2026-03-15 - 00:24
Setelah banyak digembar-gemburkan akhirnya mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional semalam tidak menamakan ketua pembangkang Parlimen Malaysia. Sekadar mengumumkan seorang Ahli Parlimen PAS akan pegang jawatan itu menggantikan Hamzah Zainudin. Itu bukanlah sesuatu yang mengemparkan kerana ia sudah dijangka umum. Malah beberapa pemimpin PAS sendiri sudah memberi gambaran amat jelas sebelum ini. Oleh itu, apa yang diumumkan pengerusi PN yang baru dilantik Ahmad Samsuri Mokhtar sekadar mengesahkan apa yang satu kampung sudah tahu. Kata Samsuri atau Dr Sam, nama Ahli Parlimen PAS yang akan jadi ketua pembangkang akan diumumkan ‘sebelum akhir Mac ini’. Apa bezanya umum sekarang dengan umum akhir bulan ini? Tinggal 17 hari pun. Adakah ia buat perbezaan ketara antara sekarang dan akhir bulan ini? Menurut Samsuri, PN akan mengadakan ‘sesi libat urus’ bagi mendapatkan persetujuan bersama mengenai nama akan dilantik ke jawatan ketua pembangkang. Sementara ‘libat urus’ dijalankan Hamzah masih jadi ketua pembangkang. Maksudnya, tiada nama atau nama-nama YB PAS yang dilontarkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi PN semalam? Atau ada nama yang diutarkan tetapi hadirin terdiri Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Presiden Gerakan Dominic Lau, Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) P Punithan serta Takiyuddin Hassan selaku setiausaha agung PAS – tidak setuju dengan nama dicadangkan? Lantas tiada kesepakatan? Jika tidak apa perlunya diadakan lagi ‘libat urus’ tentunya di luar mesyuarat majlis tertinggi untuk cari restu semua pemimpin yang sememangnya duduk dalam majlis tertinggi? Bukankah ini ‘redundant’ namanya? Buat kerja dua tiga kali padahal boleh buat sekali. Atau adakah PAS sedang ‘buying for time’ untuk mengatur sesuatu sebelum jawatan ketua pembangkang diisi? Bukanlah rahsia besar PAS lebih cenderung Hamzah dikekalkan sebagai ketua pembangkang. Namun, Muhyiddin sejak awal sudah menegaskan beliau dan partinya tidak setuju. ‘No way’ kata Muhyiddin. Jadi, komprominya ialah memutuskan Ahli Parimen PAS akan jadi ketua pembangkang yang baru. Tetapi adakah melengahkan umum namanya bertujuan beri Hamzah masa untuk menganggotai PAS bagi membolehkannya dilantik semula. Kali ini sebagai Ahli Parlimen PAS? Tetapi jika itulah pelannya, Muhyididn tetap tidak akan setuju. Meskipun PAS dengan bilangan Ahli Parlimen terbanyak di blok pembangang di Dewan Rakyat punya kuasa mutlak memilih sesiapa yang ia mahu untuk duduk jawatan ketua pembangkang. Berdasarkan itu, PAS boleh jika mahu lantik Hamzah sebagai ketua pembangkang dalam keadaan sekarang, kerana walaupun Hamzah tidak berparti buat masa ini setelah dipecat Bersatu tempoh hari, beliau masih ‘eligible’ kerana seseorang Ahli Parlimen walaupun tanpa parti boleh dilantik sebagai ketua pembangkang asalkan dapat sokongan majoriti pembangkang. Seperti dikata tadi PAS pegang majoriti. Namun, apa yang berlaku menunjukkan seolah-olah PAS berada dalam ‘acomodating mode’. Nak ambil hati Muhyididn dan pada masa sama Hamzah. Tetapi, apa pun yang dilakukan masalah akan datang dari kiri dan kanan, atas bawah. Ikuti apa yang Muhyiddin mahu Hamzah akan marah. Turuti apa Hamzah mahu, Muhyididn akan melenting. Hamzah bagaimanapun dikatakan juga akan tubuh parti sendiri. Awal-awal lagi Muhyiddin kata beliau tidak mahu parti Hamzah menjadi komponen PN. Tetapi ini bukanlah masalah besar buat PAS. Ia boleh menjalin kerjasama dengan parti Hamzah yang duduk di luar PN tetapi tetap mesra PN. ‘At the same time’ PAS dengan Bersatu terus berbaik-baik dalam PN. Saya ulangi apa yang pernah saya tulis dulu iaitu PAS tidak ada masalah berenang dalam dua kolam. Namun, masalah akan tetap timbul apabila pilihan raya mendatang dijalankan kelak. Buat masa ini apa yang sedang berlaku menunjukkan Muhyiddin masih boleh ‘call the shots’ dalam PN. Lihat saja isu calon PM untuk PN. Kata Muhyiddin pengerusi PN tidak semestinya jadi calon PM gabungan berkenaan. Walaupun itu yang ramai percaya sifirnya yakni pengerusi PN = poster boy/calon PM. Jika Muhyiddin mahu semua yang beliau mahu mengapa lepaskan jawatan pengerusi PN ‘in the first place?’ Seperkara menarik yang Muhyiddin mesti perhatikan ialah Hamzah dan Takiyuddin ada mengadakan perbincangan dengan Presiden Umno Zahid Hamidi di Bangkok, Disember lalu. Katanya berbincang soal ‘perpaduan Melayu’. Menurut Takiyuddin beliau ke Bangkok dengan pengetahuan (restu?) Presiden Hadi Awang. Muhyididn atau sesiapa daripada Bersatu tidak hadir. Mungkin tidak dimaklumkan atau tidak dijemput. Apa pun adalah pengetahuan umum Umno tidak berkenan (sekadar guna istilah lembut) dengan Bersatu. Umno hanya bersedia menerima pemimpin dan ahli Bersatu yang keluar parti. Selagi masih bersama Bersatu, Umno tidak mahu ‘deal’ apa-apa dengan mereka. Maka, apa yang Muhyiddin perlu perhatikan yang saya sebut tadi ialah apa sebenar dibincang Takiyuddin dan Hamzah dengan Zahid di Bangkok kerana beliau dan partinya ‘is not part of the equation’. Mesyuarat Majlis Tertinggi PN semalam juga tidak melantik pengerusi PN negeri termasuk lima negeri kini tanpa ketua. Ertinya PN Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Johor tidak punya ketua. Semua penyandang (daripada Bersatu) lepaskan jawatan berikutan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan lalu. Kata Samsuri pelantikan ditangguh sehingga mesyuarat seterusnya iaitu setelah beliau melakukan lawatan kerja ke semua negeri dijadualkan selepas Aidilfitri. Benar mesyuarat semalam ada buat pelantikkan beberapa jawatan dalam struktur gabungan yang semuanya diisi orang PAS, (Gerakan dan MIPP sekadar ‘window dressing?’). Namun, dengan tidak menamakan ketua pembangkang dan tiada pelantikan khususnya ketua bagi negeri yang tidak ada ketua – mesyuarat macam diadakan tanpa persediaan rapi, malah tergesa-gesa barangkali. Bukan itu sahaja ‘overall it does not bode well for PN overall’. Pada pandangan saya apa yang berlaku (atau tidak berlaku) menunjukkan banyak yang masih tak kena. Banyak perkataan atau istilah negatif yang boleh digunakan untuk ‘describe’ keadaan PN sekarang. Cukuplah sekadar saya guna istilah ‘kelam kabut’. Ini istilah paling lembut. Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.