‘Apa susah sangat’, Hamzah seru jelas dakwaan serah tanah kepada Indonesia di Parlimen
2026-02-02 - 07:46
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin tidak setuju dengan pendirian perdana menteri dan mendesak isu dakwaan penyerahan tanah kepada Indonesia diperjelas di Dewan Rakyat. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin mengulangi desakan supaya kerajaan memberi penjelasan di Parlimen berhubung dakwaan penyerahan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan isu tiga kampung di sempadan Sabah-Kalimantan. Ahli Parlimen Larut itu membuat gesaan terbabit susulan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menegaskan tiada keperluan untuk kerajaan menjelaskan dakwaan tersebut di Parlimen. Sebelum ini, Anwar membidas pembangkang yang mengambil kesempatan terhadap ruang kebebasan bersuara menyebarkan fakta yang salah berhubung isu berkenaan. Mengulas lanjut, Hamzah mencabar kerajaan bersikap telus memandangkan isu itu turut dilaporkan secara terbuka di negara jiran. “Pembangkang sudah minta bentang dalam Parlimen. Jawab dan jelaskan sahaja di Parlimen. Apa yang susah sangat. “Ini dilaporkan sendiri oleh Setiausaha Badan Pengelola Perbatasan dalam mesyuarat Komisi II Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Republik Indonesia pada 21 Jan lalu. Perdana menteri jangan marah tak tentu hala dan stres. Nanti kalau terlebih stres kerja lain pula jadinya,” katanya dalam catatan di Facebook. Khamis lalu, Hamzah menggesa kerajaan membincangkan dakwaan pemberian tanah itu kepada Indonesia di Parlimen kerana melibatkan kedaulatan negara meskipun dinafikan Anwar. Pada 24 Jan, Anwar menafikan dakwaan berkenaan dan menjelaskan kerajaan akan mengadakan rundingan secara baik dalam mencari penyelesaian berhubung isu tiga kampung yang dilaporkan termasuk dalam wilayah Malaysia susulan peralihan garisan sempadan antara kedua-dua negara. Media melaporkan tiga kampung itu ialah Kampung Kabulangalor, Kampung Lepaga, dan Kampung Tetagas yang terletak berdekatan sempadan Tawau, Sabah.