Anwar ziarah mursyidul am PAS di Hospital P Pinang
2026-03-07 - 11:14
PM Anwar Ibrahim ziarah Mursyidul Am PAS Hashim Jasin di Hospital Pulau Pinang. (Gambar PMO) PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini menziarahi Mursyidul Am PAS Hashim Jasin yang kini menjalani rawatan di Hospital Pulau Pinang. Anwar berkata, beliau sempat singgah di hospital menziarahi ‘sahabat lamanya’ itu, yang berada dalam keadaan baik, sebelum meneruskan jadual lawatan kerja seharinya di utara tanah air. “Alhamdulillah, (Hashim) dalam keadaan baik dan kami sempat berbicara panjang,” katanya menerusi hantaran Facebook. “Saya turut menyampaikan salam (Dr Wan) Azizah kepada beliau dan keluarga, serta mendoakan afiyah dan kesembuhan segera buat Ustaz Hashim.” Hashim, 87, dipindahkan dari Hospital Tuanku Fauziah di Perlis ke Hospital Pulau Pinang pada 18 Feb lepas bagi menjalani prosedur pemasangan sten. Dalam pada itu, Anwar turut meluangkan masa menziarahi seorang jururawat Hospital Pulau Pinang yang terbabit dalam kemalangan jalan raya semasa dalam perjalanan ke tempat kerja. Beliau menyifatkan pengorbanan petugas kesihatan sepertinya amat dihargai. Sebelum beredar, Anwar yang juga menteri kewangan sempat menerima perkembangan terkini mengenai projek naik taraf hospital itu demi meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan untuk rakyat.