TheMalaysiaTime

Anwar selar Israel, AS ‘biadab’ serang Iran

2026-03-02 - 05:14

Anwar Ibrahim gesa usaha damai dilaksanakan dengan kerjasama negara Teluk. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim sekali lagi mengutuk serangan udara dilancarkan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran dan menyifatkan tindakan itu sebagai biadab serta melanggar prinsip kedaulatan negara. Beliau berkata Malaysia menggesa gencatan senjata tanpa syarat dilaksanakan serta-merta, sambil menekankan sebarang pertikaian antara negara terbabit perlu kembali ke meja rundingan secara konstruktif. “Kita menggesa pendamaian segera dengan kerjasama negara-negara Teluk. Kembali bersatu dalam rundingan dan mempertahankan kebebasan serta kemerdekaan rantau ini. “Jika tidak seperti yang boleh dijangka, giliran satu negara ke negara lain akan terus berlaku, sebagaimana diungkapkan beberapa pemimpin Israel, termasuk amaran terkini kepada pemerintah Turki bahawa mereka tidak terlepas daripada kemungkinan serangan,” katanya di Dewan Rakyat. Beliau berkata demikian ketika membawa usul mengutuk serangan Israel dengan sokongan AS ke atas Iran yang mengorbankan nyawa Ayatollah Ali Khamenei. Israel dilaporkan melancarkan serangan awal ke atas Iran Sabtu lalu, susulan konflik udara selama 12 hari pada Jun antara kedua-dua negara. Ketegangan memuncak di tengah-tengah amaran berulang AS dan Israel bahawa tindakan lanjut akan diambil sekiranya Iran meneruskan program nuklear serta peluru berpandu balistiknya. Washington dan Tehran sebelum ini turut mengadakan beberapa siri rundingan dalam usaha meredakan ketegangan berkaitan program nuklear Iran. Sementara itu, Anwar memberi jaminan kerajaan akan memastikan keselamatan 29,112 rakyat Malaysia yang yang kini berada di beberapa negara Asia Barat susulan konflik tersebut. Beliau berkata, rakyat Malaysia paling ramai berada di Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Jordan. “Sebagai kerajaan, kita bertanggungjawab memelihara dan menjamin keselamatan rakyat Malaysia supaya keberadaan mereka di sana selamat. “Ramai terkandas akibat penutupan ruang udara dan gangguan penerbangan. Sebahagiannya menetap dan bekerja di sana. “Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) sedang memantau rapat keadaan dan berhubung dengan rakyat Malaysia di sana sekiranya memerlukan bantuan untuk dibawa pulang, walaupun usaha itu kini terjejas akibat sekatan penerbangan,” katanya. Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut mengumumkan Malaysia melancarkan inisiatif ‘Sumud Darat’ bagi menyalurkan bantuan makanan dan perubatan kepada rakyat di Gaza. Menurutnya, sebanyak 30 kontena bantuan akan dihantar kepada rakyat Palestin dalam masa terdekat.

Share this post: