Anwar, pemimpin negara Islam adakan pusingan kedua rundingan konflik Asia Barat
2026-03-16 - 05:13
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata perbincangan pusingan kedua itu bagi mendapatkan gambaran menyeluruh situasi semakin kompleks di rantau Asia Barat. (Gambar Bernama) PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sudah mengadakan perbincangan pusingan kedua dengan beberapa pemimpin negara Arab dan dunia Islam berhubung perkembangan terkini krisis serantau susulan konflik di Asia Barat. Beliau berkata, perbincangan itu membabitkan pemimpin Oman, Arab Saudi, Qatar, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu, Turki dan Iran bagi mendapatkan gambaran menyeluruh situasi semakin kompleks di rantau terbabit. “Dalam pusingan kedua perbincangan dengan para pemimpin tersebut, kita menyuarakan kebimbangan kerana walaupun pelaku utama adalah Israel dan pihak menyokongnya termasuk Amerika Syarikat, kesannya dirasai di seluruh dunia Islam,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Mushaf Malaysia Madani di Kompleks Darul Nasyrul Quran. Anwar berkata, Malaysia menghargai jaminan diberikan Iran bahawa perkembangan semasa tidak akan membawa kepada konflik atau pertempuran sesama negara Islam. Tegasnya, situasi ketika ini amat sukar dan kompleks, namun kerjasama serta hubungan erat antara negara Islam perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan keamanan dan kestabilan serantau dipertahankan. Beliau turut mengingatkan dunia tidak boleh melupakan penderitaan rakyat Palestin terus berdepan konflik berpanjangan, khususnya ketika umat Islam sedang melalui bulan Ramadan. Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, kerajaan akan meneliti secara mendalam cadangan peruntukan bagi mewujudkan Kompleks Madinatul Al-Quran sebagai pusat pendidikan berteraskan al-Quran.