TheMalaysiaTime

Anwar gesa gencatan senjata, bimbang konflik Timur Tengah meningkat

2026-03-01 - 10:03

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata sebarang tindakan provokatif hanya akan mencetuskan krisis lebih besar dan menjejaskan kestabilan serantau. PETALING JAYA: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menggesa gencatan senjata segera susulan serangan bersama Israel-Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran yang mengheret Asia Barat ke “ambang malapetaka”. Iran melancarkan serangan di seluruh Timur Tengah sebagai tindak balas terhadap serangan Israel-AS yang menimbulkan kebimbangan terhadap konflik lebih besar. Anwar menggesa AS, Israel dan Iran menghentikan tindakan ketenteraannya serta kembali ke dialog diplomatik. “Sebarang tindakan bersifat provokatif hanya akan mencetuskan krisis lebih besar, menggugat kestabilan serantau dan berisiko mengheret lebih banyak negara ke dalam konflik yang sukar dibendung,” katanya dalam catatan Facebook. AS dan Israel melancarkan serangan mengejut ke atas Iran semalam, dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Iran menyatakan lebih 20 daripada 31 wilayah Iran terjejas akibat serangan berkenaan. Media kerajaan Iran hari ini melaporkan pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei, terbunuh susulan serangan udara di kompleks kediamannya yang didakwa dilakukan AS dan Israel. Iran bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Bahrain, Jordan serta Kuwait yang menyasarkan pangkalan tentera AS di negara terbabit.

Share this post: