TheMalaysiaTime

Anwar alu-alukan tawaran Pakistan jadi tuan rumah rundingan AS-Iran

2026-03-25 - 13:30

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memuji rakan sejawatannya dari Pakistan, Shehbaz Sharif, kerana tampil ke hadapan memudah cara usaha diplomasi. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengalu-alukan tawaran Pakistan untuk menjadi tuan rumah rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran. Beliau turut memuji rakan sejawatnya dari Pakistan Shehbaz Sharif, serta pemimpin negara sahabat lain yang tampil menggerakkan usaha diplomasi. Dalam hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata kedudukan Pakistan sebagai ‘suara yang diyakini dalam dunia Islam’ meletakkan negara itu dalam posisi kukuh untuk membantu mewujudkan suasana yang kondusif bagi rundingan bermakna. Beliau turut menggesa AS dan Iran menyambut tawaran itu ‘dengan semangat seperti mana ia dikemukakan’. “Saya melihat dengan harapan berhati-hati isyarat ini, walaupun belum menyeluruh, menunjukkan masih ada ruang untuk diplomasi. Ruang ini perlu dimanfaatkan dengan penuh kesungguhan. “Sebarang rundingan mesti berasaskan niat yang tulus — komitmen jelas untuk menamatkan konflik, bukan sekadar mengawal rentaknya demi kelebihan taktikal. “Komuniti antarabangsa sudah terlalu kerap menyaksikan gencatan senjata yang hanya menjadi jeda sementara, bukan penyelesaian muktamad,” katanya. Semalam, Shehbaz menyatakan kesediaan Pakistan menjadi tuan rumah rundingan antara AS dan Iran bagi menamatkan perang. Perkembangan itu menyusul sehari selepas Presiden AS Donald Trump menangguhkan ancaman untuk mengebom loji tenaga Iran susulan rundingan yang disifatkannya sebagai ‘produktif’. Anwar berkata walaupun Malaysia menegaskan hak Iran untuk mempertahankan kedaulatannya, semua pihak perlu menunjukkan tahap kawalan diri yang tinggi bagi memastikan orang awam serta infrastruktur di negara-negara Teluk tidak terus terheret dalam konflik yang bukan pilihan mereka. “Negara-negara Teluk, rantau ini dan dunia mempunyai kepentingan besar dari segi ekonomi, sosial serta kestabilan jangka panjang, dan rakyatnya tidak wajar menanggung akibat keputusan yang dibuat pihak lain,” katanya. Beliau turut memaklumkan telah mengadakan perbincangan dengan pemimpin Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Turki, Mesir, Indonesia, Jepun, Pakistan dan rakan lain bagi memahami situasi dengan lebih mendalam serta menggesa usaha meredakan ketegangan. “Malaysia akan terus menyokong setiap usaha yang diyakini ke arah keamanan yang adil dan berkekalan,” katanya.

Share this post: