Anwar akan bentang usul kutuk serangan AS-Israel
2026-03-01 - 13:44
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyifatkan serangan bersama AS-Israel cubaan melulu untuk mensabotaj rundingan Washington dan Tehran. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim akan membentangkan usul tergempar di Dewan Rakyat esok mengutuk serangan Israel-Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, kata Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh susulan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR hari ini. Anwar yang juga presiden PKR mengutuk serangan bersama Israel-AS yang boleh mengheret Timur Tengah ke “ambang malapetaka”. Beliau mengkritik Israel memulakan serangan itu dan menyifatkannya cubaan melulu untuk mensabotaj rundingan Washington dan Tehran, dengan membabitkan negara lain dalam konflik yang boleh menjadi tidak terkawal. “Amat penting untuk menghentikan permusuhan serta-merta dan tanpa syarat,” katanya sambil menyeru AS dan Iran kembali ke dialog diplomatik.