TheMalaysiaTime

Anil kekal Adun Kunak selepas mahkamah batal petisyen

2026-03-05 - 05:54

Calon Barisan Nasional Anil Jeet Singh memenangi kerusi Kunak dengan majoriti 2,118 undi pada PRN Sabah 29 Nov lalu. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu membatalkan petisyen mencabar kemenangan calon Barisan Nasional, Anil Jeet Singh di kerusi Kunak susulan bantahan awal. The Borneo Post melaporkan Anil memfailkan bantahan awal untuk membatalkan petisyen pilihan raya atas alasan undang-undang dan prosedur, dengan berkata ia gagal mematuhi beberapa keperluan mandatori bawah Peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954 dan undang-undang pilihan raya berkaitan. Petisyen itu difailkan pengundi Bustan @ Industan Lumantang yang mempersoalkan kesahihan pilihan raya dengan mendakwa beberapa kertas undi mempunyai nombor siri sama di salah satu saluran mengundi di SMK Kunak Jaya. Bustan menamakan Suruhanjaya Pilihan Raya, pegawai pilihan raya Sabah, pegawai pengurus pilihan raya dan Anil sebagai responden pertama hingga keempat. Beliau berhujah kewujudan kertas undi bernombor siri sama menimbulkan kebimbangan terhadap integriti proses pencetakan undi dan boleh menjejaskan kebolehpercayaan pengiraan undi keseluruhan. Hakim Amelati Parnell memerintahkan Bustan membayar kos RM10,000 kepada responden pertama, kedua dan ketiga serta RM20,000 kepada Anil. Peguam Syarulnizam Salleh, Nooraihan Ali dan Wong Chik Kien mewakili Anil. Anil yang meraih 5,986 undi dalam saingan enam penjuru pada PRN Sabah 29 Nov lalu, menang dengan majoriti 2,118 undi. Beliau dilantik pembantu menteri pembangunan belia, sukan dan ekonomi kreatif pada 16 Dis lalu.

Share this post: