TheMalaysiaTime

Anggota tentera hilang ketika Op Pasir ditahan di Sarawak

2026-03-26 - 03:11

Markas Angkatan Bersama sedang menyiasat punca ketidakhadiran anggota itu ketika bertugas PETALING JAYA: Seorang anggota tentera yang dilaporkan hilang ketika menjalankan tugas dalam Operasi Pasir di Semporna, Sabah, dua minggu lalu ditemui oleh pasukan keselamatan, kata Markas Angkatan Bersama (MK AB). MK AB dalam kenyataan berkata anggota tersebut dikesan selepas usaha pengesanan dijalankan susulan laporan kehilangan ketika operasi itu. Menurutnya, siasatan awal mendapati anggota berkenaan dipercayai tidak hadir tanpa cuti (THTC). “Anggota terbabit dikenal pasti sebagai Renjer Fredenick anak Petrus, 21, dari Kompeni C, Batalion Ke-6 Rejimen Renjer Diraja (6 RRD). “Beliau dilaporkan tidak ditemui semasa pemeriksaan baris pagi di Pos Pulau Pandanan pada 14 Mac ketika bertugas dalam Operasi Pasir Sektor Semporna Siri 1/2026,” menurut MK AB. Susulan kehilangan itu, MK AB berkata operasi pengesanan segera dilancarkan oleh pasukan keselamatan bagi menjejaki keberadaan anggota berkenaan. Pasukan keselamatan itu berkata hasil usaha tersebut membawa kepada penahanan anggota terbabit oleh pasukan 3 Kompeni Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) di Kota Samarahan, Sarawak pada 19 Mac. Anggota berkenaan kemudian dibawa ke hadapan Majistret Kota Samarahan sebelum ditempatkan dalam tahanan tentera di Kem Muara Tuang bagi siasatan lanjut. MK AB berkata siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar ketidakhadiran anggota itu ketika bertugas. “Tindakan sewajarnya akan diambil selaras dengan peraturan serta undang-undang di bawah Akta Angkatan Tentera 1972,” katanya. MK AB menegaskan komitmennya untuk memastikan setiap kes ditangani secara profesional, telus dan berintegriti serta menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.

Share this post: