Andai kalah kes cabar undang-undang persekutuan, Sarawak berisiko depani ‘Perlembagaan mengunci’
2026-02-27 - 10:34
Presiden Parti Bumi Kenyalang Voon Lee Shan, berkata GPS mesti menyediakan pelan luar jangka sekiranya mereka kalah dalam kes tersebut. PETALING JAYA: Sebuah parti Sarawak menyatakan keputusan kerajaan negeri mencabar tiga undang-undang persekutuan di mahkamah atasan berisiko menjadi lebih daripada sekadar kegagalan politik. Parti Bumi Kenyalang berkata, andai Sarawak kalah dalam kes berkenaan, keputusan itu akan menjurus ‘Perlembagaan yang mengunci’, yang akan menghalang pindaan Perlembagaan persekutuan buat sementara waktu, lapor Borneo Post. Presiden Voon Lee Shan Voon, berkata jika Mahkamah Persekutuan memihak kepada Putrajaya, status quo akan dikekalkan, dengan kontrak perkongsian pengeluaran kekal sah, pengaturan komersial diteruskan tanpa gangguan, dan kawalan persekutuan terhadap sumber petroleum Sarawak kekal utuh. Sekiranya mahkamah atasan memihak kepada Sarawak sekali pun, ia tidak akan menyelesaikan kerumitan operasi dan kontrak secara automatik, memandangkan perjanjian serta klausa sedia ada akan kekal mengikat secara sah, katanya. “Dalam dua senario ini, Petronas akan terselamat, namun Sarawak berdepan risiko penetapan Perlembagaan yang muktamad,” katanya dipetik. Voon, yang merupakan peguam pengamal, turut berkata keputusan mahkamah yang tidak menyebelahi Sarawak akan mengesahkan pemilikan petroleum oleh persekutuan, menjadikannya lebih sukar untuk diubah, berbanding rungutan politik dan sejarah yang disandarkan oleh Sarawak ketika ini untuk menuntut kesnya. “Jika Sarawak kalah di Mahkamah Persekutuan, keputusan itu bukan sekadar satu kegagalan politik, malah ia akan menjadi ‘Perlembagaan yang mengunci’,” katanya. Pada Isnin, kerajaan Sarawak memfailkan petisyen mencabar tiga undang-undang persekutuan, dan menyatakan niatnya untuk menentang usaha Petronas bagi mendapatkan kejelasan kehakiman berkait perundangan yang mengawal selia operasinya di negeri itu. Tiga undang-undang tersebut ialah Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA), Akta Pelantar Benua 1966, dan Akta Perlombongan Petroleum 1966. Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, berkata undang-undang persekutuan terbabit menjejaskan sempadan Sarawak, yang telah ditetapkan sebelum Hari Malaysia, serta hak negeri terhadap sumber petroleum yang terletak di luar pantai dalam sempadan berkenaan. Voon menyeru Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menjelaskan pelan luar jangka andai berdepan kekalahan kes, termasuk pelan hala tuju perundangan, strategi sandaran, dan penilaian risiko ekonomi sebelum meneruskan petisyen tersebut lebih lanjut. Beliau turut mencadangkan agar PDA dimansuhkan bagi membuka jalan kepada rangka kerja petroleum baharu berasaskan perkongsian dan bukannya subordinasi, dengan mengiktiraf hak pemilikan Sarawak.