Ancaman radikalisasi remaja terkawal tapi serius, kata pakar
2026-03-15 - 02:23
Golongan muda sering menjadi sasaran pengaruh radikal kerana faktor usia, akses teknologi, dan kecenderungan mencari identiti. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Ancaman radikalisasi dalam kalangan remaja masih pada tahap terhad dan terkawal, namun perlu perhatian serius kerana proses radikalisasi lazimnya berlaku secara berperingkat dan sukar dikesan di peringkat awal, kata pakar. Ahli kriminologi dan pakar penyelidikan dasar dari Universiti Sains Malaysia, P Sundramoorthy, berkata kewujudan sel radikal dalam kalangan belia boleh menimbulkan risiko keselamatan walaupun ancaman radikalisasi dalam kalangan remaja bukan fenomena meluas. “Dari perspektif kriminologi, isu ini tetap serius kerana proses radikalisasi biasanya berlaku secara beransur-ansur dan sukar dikesan pada peringkat awal,” katanya kepada FMT. Sundramoorthy mengambil maklum beberapa kes tangkapan membabitkan remaja berusia antara 16 hingga 21 tahun yang didapati terpengaruh dengan ideologi IS. Beliau menerangkan, individu yang melalui proses radikalisasi cenderung bertindak secara ekstrem walaupun dalam bilangan kecil mahupun bersendirian. Sundramoorthy mengulas kebimbangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tentang penglibatan remaja dalam aktiviti berkaitan keganasan dan fahaman ekstremis, susulan penahanan individu berkait kumpulan IS, baru-baru ini. Pada 6 Mac lalu, polis mengumumkan penahanan enam lelaki berusia 16 hingga 21 tahun. Mereka didapati terbabit aktiviti berorientasikan keganasan dan fahaman ekstremis dalam talian, dengan proses radikalisasi suspek bermula melalui platform digital, termasuk permainan dalam talian popular, Roblox. “Dalam banyak kes radikalisasi moden, perekrut tidak terus mengajak kepada keganasan. Mereka biasanya bermula dengan naratif ketidakadilan, solidariti agama atau identiti sebelum ia berkembang menjadi ideologi ekstrem,” kata Sundramoorthy. Beliau berkata, usaha pencegahan perlu menggabungkan pendekatan keselamatan, pendidikan dan komuniti, serta memperkukuh pemantauan siber selain meningkatkan celik digital. Sementara itu, Mizan Aslam, pakar kajian keselamatan antarabangsa di United Arab Emirates University, berkata golongan muda sering menjadi sasaran pengaruh radikal kerana faktor usia, akses teknologi, dan kecenderungan mencari identiti. “Permainan dalam talian seperti Roblox misalnya memberi ruang kepada remaja membina imaginasi tertentu termasuk elemen pertempuran atau konflik, yang boleh dimanipulasi oleh pihak tertentu untuk mempengaruhi pemikiran mereka,” katanya. Katanya, situasi sama pernah dilaporkan di beberapa negara lain termasuk Singapura, Amerika Syarikat dan United Kingdom. Menurutnya, pencegahan awal penting kerana radikalisasi perlu ditangani secara proaktif, dan memerlukan tanggungjawab bersama termasuk penyedia platform digital. “Bila kita berdepan ideologi radikal, pendekatannya mesti bersifat ‘preventive’ (mencegah) dan ‘offensive’ (menyerang). Kita tidak boleh tunggu sesuatu berlaku baru bertindak,” katanya.